
Takaful Malaysia akan memanfaatkan daya tahan perniagaan bagi pertumbuhan mampan
KUALA LUMPUR,. Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Bhd (Takaful Malaysia) akan menerajui industri takaful dengan memanfaatkan daya tahan perniagaannya untuk pertumbuhan yang mampan, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Nor Azman Zainal.
Beliau berkata Takaful Malaysia akan memberi tumpuan kepada mengekalkan kepimpinan pasaran dalam bancatakaful, perbendaharaan, faedah pekerja dan takaful am selain mewujudkan kedudukan yang lebih kukuh dalam pasaran runcit, mengukuhkan kedudukan jenama, meningkatkan inisiatif pemasaran, ekosistem digital dan menerima agenda kemampanan yang termasuk pengantaraan berasaskan nilai untuk takaful sebagai sebahagian daripada inisiatif untuk membangunkan lagi industri takaful.
“Kami akan menggunakan strategi pelbagai saluran untuk menembusi segmen runcit dan memanfaatkan kedudukan peneraju pasaran kami dalam produk sumbangan tunggal selain memberi tumpuan kepada produk sumbangan tetap runcit untuk mempelbagaikan portfolio perniagaan kami.
“Kami akan terus memberi keutamaan kepada kerjasama strategik kami dengan institusi kewangan Islam terkemuka dan memperkenalkan produk simpanan baharu dan produk nasihat berkaitan pelaburan,” katanya dalam kenyataan hari ini bersempena mesyuarat agung tahunan (AGM) ke-37 Takaful Malaysia pada 31 Mei, 2022.
AGM secara dalam talian itu menyaksikan lapan resolusi telah diundi dan diluluskan oleh pemegang saham yang mengambil bahagian.
Beliau berkata dalam mengukuhkan capaian pasarannya dalam segmen faedah pekerja, syarikat akan memulakan penyelesaian digital untuk menawarkan pengalaman berbeza untuk perkhidmatan yang disesuaikan kepada pelanggan korporat.
Mengenai impak daripada Standard Pelaporan Kewangan Malaysia (MFRS) 17, Nor Azman berkata MFRS 17 hanyalah perubahan layanan perakaunan untuk kontrak takaful dan insurans serta tidak mengubah asas perniagaannya, yang termasuk kekuatan kewangan dan keupayaan untuk membayar tuntutan atau keuntungan produknya.
Beliau berkata impak utama ialah masa pengiktirafan keuntungan apabila MFRS 17 memerlukan keuntungan perniagaan baharu dicatatkan dalam margin perkhidmatan kontrak (CSM) sebagai liabiliti dan CSM akan dikeluarkan secara berperingkat sepanjang hayat kontrak takaful semasa perkhidmatan disediakan.
“Perniagaan takaful am kami juga akan menjadi bidang pertumbuhan yang penting, diperkukuh oleh strategi pelbagai pengedaran kami, generasi baharu ejen korporat konvensional untuk pengembangan perniagaan kuantum dan permintaan yang lebih besar untuk penawaran produk takaful am kami yang komprehensif.
“Sebagai perintis dalam menyediakan penyelesaian takaful keluarga dan am selama lebih tiga dekad dan kekal dengan prinsip asas yang telah membentuk kejayaan kami, kami akan memberi penekanan kepada membina perniagaan yang mampan untuk jangka panjang dalam memberikan nilai kepada pemegang saham dan memenuhi keperluan perlindungan pelanggan,” katanya.
— BERNAMA