Taliworks ceburi pasaran tenaga boleh diperbaharui
KUALA LUMPUR,. Taliworks Corporation Bhd akan menceburi pasaran tenaga boleh diperbaharui (RE) menerusi cadangan pengambilalihan empat projek solar membabitkan agregat kapasiti puncak 19.0 megawatt dalam kawasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.
Anak syarikat milik penuh firma prasarana itu, Taliworks Renewables Sdn Bhd (TRSB), telah memeterai perjanjian bersyarat dengan TerraForm Global Operating LP dan beberapa anak syarikatnya bagi cadangan pengambilalihan tidak langsung kepentingan majoriti ekonomi dalam projek-projek solar terbabit.
Dalam kenyataan hari ini, Taliworks berkata sebagaimana ketetapan sebahagian cadangan pengambilalihan itu, TRSB akan membayar sejumlah RM144.05 juta bagi pembelian keseluruhan kepentingan ekuiti dalam cadangan projek.
Pinjaman pemegang saham itu pula akan disuntik oleh TRSB bagi tujuan pembayaran balik keseluruhan pinjaman terkumpul yang ditanggung oleh subsidiari TerraForm Global.
Menurutnya, cadangan pengambilalihan itu berserta syarat mendapat kelulusan pihak Lembaga Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) bagi perubahan dalam pegangan saham syarikat-syarikat projek.
“Strategi kami untuk memasuki pasaran RE kini semakin menjadi nyata. Ini kali pertama kami menceburi sektor RE yang dapat menyediakan platform untuk menyertai projek-projek berkaitan tenaga itu di masa depan.
“Kami yakin pasaran tenaga RE ini menjanjikan prospek yang cerah, sejajar dengan sasaran kerajaan untuk meningkatkan penggunaan RE dalam gabungan penjanaan tenaga sehingga 20 peratus menjelang 2025,” kata Pengarah Eksekutifnya Datuk Ronnie Lim.
Beliau juga menyifatkan transaksi itu seiring strategi pelaburan kumpulan untuk mendapatkan aset matang dengan pendapatan berulangan yang mampan bagi menyokong komitmen dasar dividen bagi para pemegang saham.
Menurutnya, kumpulan itu juga teruja kerana pengambilalihan tersebut turut menyumbang kepada pendapatan masa depan.
Taliworks terbabit dalam kerja-kerja rawatan dan bekalan air, pengurusan sisa, operasi lebuh raya bertol, kejuruteraan serta pembinaan.
— BERNAMA