
Taman mesra autisme pertama di Sarawak dijangka siap Disember: Wee
KUCHING: Kanak-kanak autistik tidak lama lagi akan mempunyai ruang khusus untuk bermain apabila taman permainan mesra autisme yang pertama di Sarawak dijangka siap Disember tahun ini.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) Dato Wee Hong Seng berkata, projek taman yang terletak di Taman Palmarium MBKS itu bernilai RM485,800 dan akan dipantau oleh ahli Majlis Kanak-Kanak Kuching Selatan yang baru ditubuhkan dengan kerjasama pengurusan MBKS.
“Saya dengan sukacita mengumumkan kita sekarang dengan rasminya menyerahkan tapak ini kepada kontraktor dipilih. “Dengan kepakaran dan komitmen mereka, kontraktor ini akan menghidupkan visi yang telah kita tetapkan untuk taman permainan ini.
“Hari ini menandakan bukan sahaja sambutan sesuatu idea, tetapi permulaan untuk merealisasikannya.
“Kontraktor akan memulakan pembinaan, memastikan setiap elemen dibina mengikut piawaian tertinggi dengan keselamatan, kebahagiaan dan kesejahteraan anak-anak kita menjadi teras projek.
“Kita memberi masa empat bulan kepada kontraktor untuk menyiapkan projek ini tetapi dengan musim hujan pada penghujung tahun semakin hampir, kita berharap ia boleh disiapkan lebih awal… kalau boleh sebelum Krismas, jadi ia boleh menjadi hadiah istimewa kepada anak-anak ini,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan tapak projek taman permainan mesra autistik di sini, hari ini.
Wee menambah, taman permainan itu yang belum dinamakan direka bentuk dengan teliti untuk menyediakan persekitaran selamat dan mesra kanak-kanak ‘neurodiverse,’ terutama mereka yang mengalami autisme agar boleh bermain, meneroka dan berkembang dalam ruang yang sesuai dengan keperluan mereka.
Menurutnya, sesetengah kanak-kanak autistik mengalami gangguan pemprosesan deria, menjadikan mereka lebih sensitif kepada bunyi yang kuat, lampu terang atau tekstur dan bau tertentu. Cabaran-cabaran ini begitu mudah boleh membuatkan aktiviti mereka menjadi sangat membebankan dan sedikit sebanyak menyakitkan, tambahnya.
“Bagi kebanyakan kanak-kanak autistik, taman permainan biasa boleh menjadi tempat sensasi dan amat menyukarkan. “Berdasarkan pemahaman inilah kami telah mencipta ruang istimewa ini, taman permainan yang direka bukan hanya untuk keseronokan, tetapi keterangkuman, penerimaan dan sokongan,” tambahnya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Autistik Kuching Dr Catherine Chen menegaskan persekitaran yang selamat iaitu kaya deria, mesra autisme, menyeronokkan dan menarik adalah ciri-ciri penting bagi taman permainan.
“Dengan bermain di taman permainan mesra autisme, kanak-kanak dan orang dewasa dengan autisme boleh menikmati kemudahan itu.
“Ini akan membantu meningkatkan harga diri mereka, melibatkan deria mereka semasa bermain, menyediakan ruang yang selamat untuk ekspresi diri dan penerokaan serta membolehkan keluarga menghabiskan masa bersama, sama ada bersama keluarga mereka sendiri dan autisme yang lain.
“Ia juga akan menjadi ruang untuk mereka belajar menyesuaikan diri dengan perubahan,” katanya.
Ciri-ciri utama taman permainan itu katanya, termasuk pagar perimeter dengan pintu pagar di kedua-dua hujung untuk mengelakkan mereka kekal berada dalam zon selamat, aspek keselamatan tinggi dan dalam keadaan tenang.
Ini penting agar golongan istimewa itu dapat menenangkan diri, melakukan pelbagai aktiviti untuk membangunkan kemahiran motor mereka seperti mengimbang, memanjat, melompat dan merangkak selain kawasan berlorek untuk memastikan taman permainan itu selesa, jelasnya.
“Kami berharap taman permainan ini akan menawarkan ruang yang selesa bagi kanak-kanak dan orang dewasa dengan autisme untuk berehat, mengembangkan kemahiran, bermain bersama-sama dan membolehkan keluarga menjalin hubungan.
“Saya amat berterima kasih kepada MBKS kerana membuat projek ini dan saya pasti ia akan memberi manfaat besar kepada komuniti kita,” tambah Dr Chen.
-Gerbangpost