Tan Kian Meng-Lai Pei Jing selangkah julang Kejuaraan Terbuka Korea

Tan Kian Meng-Lai Pei Jing selangkah julang Kejuaraan Terbuka Korea

KUALA LUMPUR,. Beregu campuran negara Tan Kian Meng-Lai Pei Jing (gambar) meneruskan momentum kecemerlangan untuk melangkah ke perlawanan akhir Kejohanan Badminton Terbuka Korea selepas menewaskan beregu Indonesia, Rinov Rivaldy-Pithas Haningtyas Mentari pada saingan separuh akhir hari ini.

Kian Meng-Pei Jing yang kali terakhir menjejakkan kaki ke pentas akhir saingan jelajah dunia Terbuka Singapura 2019 hanya mengambil masa 46 minit bagi menundukkan beregu pilihan keenam itu dengan keputusan straight set 21-13, 22-20 di Stadium Palma, Suncheon.

Kian Meng-Pei Jing pada mulanya tidak menghadapi banyak masalah untuk mendahului mata demi mata sebelum mudah menjinakkan lawan dalam set pertama.

Beralih set kedua, pilihan kedua kejohanan itu bagaimanapun menerima saingan lawan yang cuba mengheret permainan ke set penentuan namun tidak berupaya menidakkan kemaraan mereka.

Kemenangan tersebut menyaksikan Kian Meng-Pei Jing selaku wakil negara yang masih bertahan akan membuat perhitungan berdepan beregu pasukan tuan rumah Korea, Ko Sung Hyun-Eom Hye Won dalam pentas akhir esok.

Sung Hyun-Hye Won terdahulu berjaya menewaskan rakan senegara Kim Wonho-Jeong Na Eun dalam satu lagi aksi separuh akhir berlangsung hari ini dengan keputusan 21-9, 21-15.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)