Tan Sri Zaleha Ismail meninggal dunia

Tan Sri Zaleha Ismail meninggal dunia

KUALA LUMPUR, 14 Nov — Bekas Menteri Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat Tan Sri Zaleha Ismail, 84, meninggal dunia pada pukul 8.15 malam ini kerana mengalami pelbagai komplikasi kesihatan.

Adik ipar Allahyarham, Abdul Aziz Shahrin, 60, ketika dihubungi Bernama mengesahkan Allahyarham meninggal dunia di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur, setelah mengalami sesak nafas pada pukul 6 petang tadi.

“Jenazah Allahyarham akan dibawa ke Masjid Salahuddin Al-Ayubbi, Taman Melati di sini pada 9 pagi esok untuk disembahyangkan dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Ibukota di sini,” katanya ketika dihubungi Bernama malam ini.

Allahyarham antaranya pernah menjawat jawatan Menteri Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat pada 1995 serta Timbalan Menteri Pengangkutan pada tahun yang sama.

Selain itu, Allahyarham pernah dilantik sebagai Naib Ketua Wanita UMNO pada tahun 1976 sehingga 1980 dan Ketua Wanita UMNO Kuala Lumpur pada tahun 1977 sehingga 1978.

Allahyarham dikurniakan tiga cahaya mata hasil perkongsian hidup bersama suaminya Allahyarham Abd Rahman Ali iaitu Datuk Dr Zurin Adnan, Zurin Azlan dan Zurin Azrai.

AL-FATIHAH

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )