Tanah runtuh Taman Wawasan: Bantuan awal RM1,000 untuk keluarga terjejas – MP Subang

Tanah runtuh Taman Wawasan: Bantuan awal RM1,000 untuk keluarga terjejas – MP Subang

SUBANG: Setiap keluarga yang terjejas susulan kejadian tanah runtuh di Taman Wawasan, Puchong awal pagi tadi akan mendapat bantuan awal sebanyak RM1,000. Ahli Parlimen Subang, Wong Chen memberitahu Astro AWANI, beliau telah berjumpa dengan kesemua wakil keluarga terlibat, dan mereka terbabit boleh datang ke pejabat ahli Parlimen untuk mendapatkan bantuan tersebut bermula pada pukul 10 pagi Isnin.

“Saya diberitahu pejabat saya pagi ini pada pukul 8 pagi, lepas itu kita bergegas ke sini. Saya sudah pergi jumpa mangsa, dan ada sembilan buah keluarga. Esok pada jam 10 pagi saya dah beritahu mereka, bersedia untuk datang ke Pejabat Parlimen jam 10 pagi, kita akan bagi RM1,000 satu keluarga untuk minggu ini.

“Kalau boleh minggu depan kita tambah lagi kerana kerja-kerja pembaikan ini mungkin memakan masa dua minggu. Jadi kita sediakan sedikit peruntukan, cukup untuk mereka pergi hotel dahulu. Lain daripada itu kita bekerjasama dengan MBSJ,” katanya lagi.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, kejadian tanah runtuh itu melibatkan kawasan sepanjang 50 meter dan selebar 60 meter, dengan kedalaman tiga meter, berdasarkan taklimat Jabatan Mineral dan Geosains Selangor.

Beliau berkata setakat ini kejadian tersebut melibatkan sembilan buah rumah, dan semua penghuni diarahkan mengosongkan kediaman masing-masing. Dalam pada itu Wong Chen berkata, masyarakat setempat, khususnya di kawasan Parlimen beliau disaran untuk mengambil maklum tentang musim hujan yang sedang melanda negara, serta mengelakkan diri dari berkunjung ke tempat yang cenderung dinaiki air.

“Musim banjir ini sekarang … Memang sekarang, dan akan berlaku. Kawasan yang biasa kena, saya minta cuba elakkan. Contohnya kejadian kelmarin di IOI Mall. Anda mungkin boleh pergi shopping di waktu pagi, tetapi apabila nampak hujan please don’t go park there. Dah kena berapa kali dah. You all have to make your own arrangement.

“Saya faham bukan senang, rumah ini banyak tak ada insurans, Kereta pun tak ada insurans. Di sini (Taman Wawasan) empat kereta terlibat. Jadi you have to take precaution act position yourself, sementara Kerajaan sedaya-upaya buat perancangan di masa hadapan,” katanya lagi.

Wong Chen berkata, beliau melihat keperluan untuk diperbanyakkan lagi kawasan hijau sebagai tadahan air hujan, manakala pembangunan baharu perlu dikurangkan, khususnya di kawasan Subang.

-Agensi

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)