Tangkap layar berita palsu mengenai Sarawak bukan dari Bernama

Tangkap layar berita palsu mengenai Sarawak bukan dari Bernama

KUCHING,. Satu tangkap layar laporan yang diubahsuai mengenai politik Sarawak yang mendakwa laporan itu dikeluarkan oleh Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan menjadi tular di platform media sosial hari ini, adalah berita palsu dan tidak ada kena mengena dengan Bernama.

Artikel yang tertera pada tangkap skin berkenaan, yang tidak menyatakan sebarang pautan webpage, tidak diterbitkan oleh Bernama, dan pemeriksaan rapi mendapati bahawa ia adalah berdasarkan kepada satu artikel dalam talian MalayMail yang diterbitkan pada hari Ahad, dengan tajuk yang berbeza.

Pemangku Ketua Biro Bernama Sarawak Nik Nurfaqih Nik Wil berkata ia terbukti bahawa tangkap layar itu telah diubahsuai dengan tajuknya ditukar dan diletakkan nama Bernama.

Bernama membuat laporan polis di sini hari ini, bagi menafikan sekeras-kerasnya ia menerbitkan berita berkenaan.

Sementara itu Pengerusi Bernama Datuk Seri Azman Ujang berkata ini merupakan tindakan yang amat tidak bertanggungjawab bagi menjatuhkan reputasi Bernama sebagai sebuah agensi yang berkredibiliti.

“Saya yakin Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta polis akan menyiasat perkara ini dan mendakwa mereka yang menyebar berita palsu ini.

“Ini bukan kali pertama nama serta logo Bernama digunakan bagi menyebar berita palsu,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)