Tanpa penyertaan Myanmar, ASEAN tetap perlu lakukan yang terbaik untuk Rohingya

KUALA LUMPUR,. Mengecualikan Myanmar daripada menyertai Sidang Kemuncak ASEAN ke-38 dan ke-39 minggu depan untuk memberi ruang kepada negara itu menguruskan isu dalaman disambut baik banyak pihak. Namun, ia tidak membantu menyelesaikan isu Rohingya.

Myanmar dikecualikan berikutan kurangnya kemajuan dalam Konsensus Lima Perkara yang disepakati ASEAN April lepas untuk membantu menyelesaikan isu yang dihadapi negara itu, selepas kerajaan pimpinan Aung San Suu Kyi digulingkan tentera.

Bahkan sebelum rampasan kuasa, Rohingya di Myanmar, yang dinafikan hak kewarganegaraan mereka, telah dianiaya dengan ribuan komuniti terpaksa menjadi pelarian di beberapa negara ASEAN.

Walaupun Konsensus Lima Perkara tidak secara khusus menyentuh mengenai Rohingya, para pemerhati menyatakan blok serantau itu, perlu bekerja lebih keras berhubung perkara ini untuk membantu komuniti paling teraniaya di dunia itu.

Presiden Pertubuhan Rohingya Burma United Kingdom yang berpangkalan di London, Tun Khin, berkata langkah ASEAN mengenai junta Myanmar sememangnya satu berita yang amat baik.

“Ini adalah perkara yang boleh dilakukan. ASEAN tidak boleh mengundang tentera atau pihak dari kementerian yang dikuasai tentera menghadiri mana-mana mesyuarat ASEAN. Tiada seorang pun di Myanmar berpendapat Konsensus Lima Perkara akan membawa hasil positif dan enam bulan kemudian, ia ternyata benar.

“Langkah ASEAN itu belum pernah berlaku sebelum ini dan mengejutkan junta, tetapi ASEAN pasti boleh dan mampu pergi lebih jauh,” katanya ketika dihubungi Bernama baru-baru ini.

Menteri luar negara ASEAN di mesyuarat tergempar Jumaat lalu (15 Okt) sepakat mengecualikan Myanmar daripada menghadiri sidang kemuncak itu dan hanya mengundang wakil bukan politik.

Mesyuarat itu juga menolak permintaan kerajaan bayangan Myanmar, Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG), untuk menyertai sidang kemuncak berkenaan.

Junta Myanmar “amat kecewa” dengan keputusan mengecualikan pemimpinnya Jeneral Min Aung Hlaing, lapor media berita antarabangsa.

Khin, yang dilahirkan dan dibesarkan di wilayah Rohingya (Arakan), berkata ASEAN sekurang-kurangnya perlu mengiktiraf NUG untuk membantu Rohingya, terutama mengenai hak kerakyatan.

Memandangkan isu kerakyatan menjadi asas kepada Rohingya untuk kembali ke Myanmar, masyarakat antarabangsa, termasuk ASEAN, harus memberikan lebih perhatian mengenai perkara ini.

“Pertama, masyarakat antarabangsa perlu sedaya yang mungkin membantu menjatuhkan tentera, dan kemudian mereka harus memberi bantuan dan sokongan kepada kerajaan awam untuk menggantikan tentera dengan syarat Rohingya diberikan hak dan kerakyatan.

“NUG telah melaksanakan komitmen positif untuk menyokong hak Rohingya tetapi kita harus memastikan komitmen ini dihormati,” tambah Khin, yang pernah menerima penghargaan daripada Refugees International, Washington D.C., pada April 2015 untuk kerja-kerjanya dalam isu Rohingya.

NUG adalah kerajaan bayangan yang dibentuk pada April lepas oleh wakil dari Liga Demokrasi Kebangsaan yang diketuai Aung San Suu Kyi dan beberapa anggota yang lain. Sebahagian besar aktiviti NUG dijalankan secara dalam talian.

Sejak kerajaan yang dipilih pimpinan Aung San Suu Kyi digulingkan junta Myanmar pimpinan Jeneral Min Aung Hlaing pada 1 Febuari, rusuhan telah tercetus menyaksikan hampir 1,000 orang awam terbunuh akibat kekerasan pasukan keselamatan.

ASEAN juga telah melantik Menteri Luar II Brunei Erywan Mohd Yusof sebagai duta khas ke Myanmar seperti disepakati dalam Konsensus Lima Perkara, tetapi beliau tidak dapat memainkan peranannya kerana keengganan junta untuk bekerjasama. – BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )