Tarikh Sukan Komanwel Birmingham 2022 dianjak sehari dari tarikh asal

Tarikh Sukan Komanwel Birmingham 2022 dianjak sehari dari tarikh asal

KUALA LUMPUR,. Tarikh baharu temasya Sukan Komanwel 2022, di Birmingham, dilewatkan sehari daripada jadual asal, iaitu bermula pada 28 Julai hingga 8 Ogos.

Tarikh asal temasya empat tahun sekali itu adalah pada 27 Julai hingga 7 Ogos.

Pengumuman bersama itu dibuat Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) dan Jawatankuasa Penganjuran Sukan Komanwel Birmingham 2022, selepas Lembaga Eksekutif CGF meluluskan tarikh baharu berkenaan.

Perubahan kecil dalam jadual itu dilakukan berdasarkan hasil perbincangan bersama antara pemimpin beberapa acara sukan utama dunia, berikutan kesan signifikan terhadap kalendar sukan antarabangsa susulan wabak COVID-19.

Pandemik COVID-19 menyebabkan banyak kejohanan sukan besar terpaksa dibatalkan atau ditangguh, termasuk Kejohanan Olahraga Dunia di Oregon, Amerika Syarikt dan Kejohanan Bola Sepak Wanita UEFA di England, dianjakkan untuk tempoh 12 bulan bermula Julai 2021.

CGF dan penganjur berkata perubahan itu memastikan Birmingham 2022 berlangsung selama dua minggu serta memberi peluang kepada atlet untuk berehat dan menjalani sesi pemulihan selepas mengambil bahagian dalam Kejohanan Olahraga Dunia.

Sukan Komanwel 2022, Kejohanan Olahraga Dunia (15-26 Julai), Kejohanan Bola Sepak Wanita UEFA (6-31 Julai) dan Kejohanan pelbagai sukan Eropah (11-21 Ogos) akan berlangsung ketika musim panas tahun 2022.

Perubahan terhadap upacara pembukaan juga mengelakkan pertembungan dengan perlawanan separuh akhir Kejohanan Bola Sepak Wanita UEFA, sekali gus membantu mempromosi profil sukan wanita.

“Kejohanan Bola Sepak Wanita UEFA dapat membantu meningkatkan populariti sukan itu, sementara Birmingham 2022 dijangka menjadi temasya sukan pertama dalam sejarah menawarkan lebih banyak pingat dalam acara wanita berbanding lelaki.

“Dalam keadaan yang tidak pernah berlaku sebelum ini, saya gembira kerana kami dapat bekerjasama untuk memastikan Sukan Komanwel satu temasya musim panas yang hebat,” kata Presiden CGF Dame Louise Martin DBE dalam kenyataan itu.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )