Taska Genius Perpaduan akan dinaik taraf

Taska Genius Perpaduan akan dinaik taraf

JOHOR BAHRU,. Satu jawatankuasa khas telah ditubuhkan bagi melihat semula sukatan pelajaran pembelajaran kanak-kanak di semua Taska Genius Perpaduan yang dikendalikan oleh Kementerian Perpaduan Negara.

Menterinya, Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata jawatankuasa itu yang ditugaskan kepada Timbalan Menteri, akan meneliti perkara berkaitan infrastruktur, nutrisi (pemakanan) dan permainan kanak-kanak.

Beliau berkata ini penting kerana modul pembelajaran sedia ada sudah berusia lebih daripada 11 tahun dan memerlukannya untuk dinilai semula.

“Mungkin ada pendekatan-pendekatan baharu yang boleh dilaksanakan. Contohnya berhubung permainan dan bahan-bahan pembelajaran yang lebih canggih dan berkualiti agar anak-anak ini tidak berasa bosan malah teruja setiap kali mahu ke sekolah,” katanya kepada pemberita sejurus selesai melawat Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) Genius Perpaduan di Taman Universiti, di sini, semalam.

Halimah berkata ketika ini, terdapat sebanyak 41 Taska Genius Perpaduan di seluruh negara melibatkan 947 kanak-kanak.

Berhubung infrastruktur pula, beliau berkata antara penambahbaikan yang boleh dilakukan ialah memasang pendingin hawa dan melakukan pencahayaan yang lebih baik di ruangan pembelajaran bagi menyediakan persekitaran yang lebih kondusif kepada kanak-kanak. — Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )