Taufan Kammuri di Filipina ragut 11 nyawa

Taufan Kammuri di Filipina ragut 11 nyawa

MANILA,. Sekurang-kurangnya 11 orang terbunuh akibat taufan yang diiringi hujan lebat dan angin kencang sejak Isnin, menyebabkan kawasan di selatan wilayah Luzon dan wilayah tengah Filipina turut terjejas, lapor agensi berita Xinhua, memetik polis pada Rabu.

Pentadbiran Perkhidmatan Atmosfera, Geofizikal dan Astronomi Filipina (PAGASA) berkata pada pukul 4 pagi waktu tempatan, Taufan Kammuri diramal terus bergerak ke barat laut dengan kekuatan angin 20 kilometer sejam dan kemudian bergerak ke Laut China Selatan.

PAGASA berkata Kammuri membawa bersama angin kencang 100 kilometer sejam sehingga 125 kilometer sejam di barat bandar Ambulong di wilayah Batangas.

Sementara itu, menurut polis 11 yang maut – tiga di wilayah Camarines Sur, dua di wilayah Sorsogon, empat di wilayah Oriental Mindoro dan masing-masing seorang di wilayah Marinduque dan wilayah Leyte.

Sebab kematian antaranya berpunca terkena kejutan elektrik, dihempap pokok dan serangan jantung, kata polis.

Timbalan Setiausaha Pertahanan Ricardo Jalad merangkap pengarah eksekutif Majlis Pengurangan dan Pengurusan Risiko Bencana Nasional (NDRRMC), berkata Kammuri menjejaskan hampir 500,000 penduduk dari Luzon Tengah, rantau Bicol, wilayah timur dan rantau barat daya Tagalog.

Jalad berkata Kammuri merosakkan sekurang-kurangnya 38 buah rumah, menyebabkan banjir di lapan kawasan dan 203 kawasan terputus bekalan elektrik.

“Sebanyak 18 jalan dan tiga jambatan dilaporkan turut terjejas,” kata Jalad.

Selain itu katanya, 329 penerbangan domestik dan 192 penerbangan antarabangsa dibatalkan selepas pihak berkuasa Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino menutup operasi selama 12 jam, dari 11 pagi hingga 11 malam waktu tempatan pada Selasa.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )