Tchetche akui hadapi tekanan menjelang pertemuan dengan PKNS

Tchetche akui hadapi tekanan menjelang pertemuan dengan PKNS

KUALA TERENGGANU,. Penyerang Terengganu FC (TFC) Kipre Tchetche mengakui pasukannya berada dalam keadaan tertekan menjelang aksi terakhir kumpulan A saingan Piala Malaysia Selasa ini.

Turun dengan misi memburu kemenangan, Tchetche berkata TFC lebih terdesak untuk mencari tiga mata bagi layak ke peringkat suku akhir berbanding PKNS FC yang sudah terkeluar daripada saingan dan turun sekadar untuk melengkapkan baki perlawanan.

Beliau berkata walaupun rekod perlawanan sebelum ini menyaksikan TFC sering mengatasi PKNS FC, ia bukan kayu pengukur bagi menentukan kemenangan menjelang pertemuan penting itu nanti.

“Bukan mudah untuk berdepan dengan pasukan yang sudahpun terkeluar daripada persaingan kerana mereka tidak lagi tertekan dan hanya menikmati permainan. Seperti mereka tiada apa untuk menang dan tiada apa untuk kalah.

“Tetapi bagi kami, cabarannya tidak sama kerana kami bermain dengan matlamat untuk menang supaya kami dapat melangkah ke peringkat seterusnya (suku akhir)),” katanya kepada pemberita ketika ditemui di kediamannya di sini.

Bagaimanapun, Tchetche yang dikenali dengan gelaran ‘Drogba Ganu’ itu berkata beliau yakin pasukannya mampu mengatasi tekanan tersebut seterusnya layak ke peringkat suku akhir bersama pasukan Kedah yang sudah pun mengesahkan tempat selepas menewaskan skuad Penyu 3-2 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini Jumaat lepas.

Menurut beliau pertemuan dengan PKNS FC itu nanti bakal menjadi perlawanan psikologi berbanding fizikal yang menuntut agar pasukannya lebih bersedia dari segi mental.

“Di atas kertas, peluang kami masih terbuka sebab lawan kami, Negeri Sembilan perlu menjaringkan sekurang-kurangnya tujuh gol menentang Kedah.

“Kami tidak mahu memberi tumpuan kepada pasukan lain, sebaliknya berusaha memberi yang terbaik untuk menang dan melangkah ke suku akhir,” katanya yang sudah dua musim beraksi bersama skuad Penyu.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)