Teknologi 5G: DNB tidak guna dana kerajaan – Annuar

KUALA LUMPUR: Teknologi 5G seliaan Digital Nasional Berhad (DNB) antara perkara yang menjadi tumpuan ketika sesi penggulungan melibatkan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa di Dewan Rakyat pada Rabu.

Antara yang membangkitkan isu tersebut ialah Khalid Samad (PH – Shah Alam) yang mempertikaikan kos berjumlah RM16.5 bilion untuk menyediakan teknologi tersebut. Beliau mempersoalkan mengapa pembangunan teknologi tersebut tidak diserahkan kepada pihak swasta sekali gus mengelak kerajaan mengeluarkan wang yang banyak untuk membangunkannya.

“Hanya persoalannya pendekatan yang kerajaan pilih merupakan satu pendekatan di mana perbelanjaan ditanggung kerajaan dan kerugian ditanggung kerajaan sedangkan pendekatan penswastaan akan kurangkan risiko dari sudut itu.

“Sebab itu saya tak faham kenapa pilih pendekatan yang mendedahkan kerajaan kepada kerugian yang begitu besar dalam keadaan negara mempunyai hutang yang banyak,” katanya. Annuar kemudian menjawab, menyatakan model digunakan DNB tidak menggunakan dana kerajaan dan tiada sebarang jaminan diberikan.

“Ini akan diterangkan kepada Yang Berhormat apabila pertemuan dengan backbenchers nanti. Tidak ada sebarang jaminan diberikan dan tidak menggunakan dana secara langsung daripada kerajaan.
“Saya harap akan dapat diberi penjelasan lebih terperinci. Kita buat kajian yang cukup mendalam termasuk model di Mexico di mana kegagalan syarikat di sana.

“Kajian itu dalam pelbagai sudut termasuk rangkaian, pelanggan dan ia sangat berbeza dengan model dipakai DNB,” ujarnya. Tambah beliau, setakat ini kos untuk projek tersebut berjumlah RM16.5 bilion dengan RM11 bilion berasaskan tender dimenangi Ericson dan selebihnya adalah kos-kos lain yang terlibat.

“Saya minta DNB buat pertemuan dengan Yang Berhormat agar dapat memperincikan kos tersebut kerana perkara itu sering diperdebatkan,” katanya.

-Agensi

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )