Telco diarah tambah baik perkhidmatan di Melaka – Fahmi

Telco diarah tambah baik perkhidmatan di Melaka – Fahmi

MELAKA,. Pihak penyedia perkhidmatan telekomunikasi diminta mengambil tindakan segera bagi mengatasi isu panggilan telefon bimbit yang terputus secara tiba-tiba khususnya di Melaka.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata ini kerana perkara itu berlaku ketika sesi Ujian Kualiti Perkhidmatan Selular (Panggilan Suara) ketika beliau menaiki Melaka River Cruise di Banda Hilir di sini hari ini.

Beliau berkata ujian itu dilakukan di kawasan yang sinonim dengan tarikan pelancong membabitkan enam penyedia perkhidmatan rangkaian mudah alih iaitu CelcomDigi, Maxis, Unifi Mobile (TM), YES (YTL) dan U Mobile.

“Sepanjang ujian dilakukan menggunakan laluan bermula di Jeti Hotel Casa del Rio ke Taman Pengkalan Rama, lima panggilan terputus direkodkan.

“Pada masa sama, ujian kelajuan muat turun jalur lebar tanpa wayar turut dijalankan sepanjang laluan tersebut dan secara purata, ia mencatatkan lebih 100 megabait sesaat bagi kesemua penyedia perkhidmatan,” katanya kepada media selepas ujian itu di laluan sepanjang kira-kira 4.5 kilometer di Sungai Melaka.

Turut serta dalam pelaksanaan ujian itu ialah Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Isa, Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia Datuk Suhaimi Sulaiman, Ketua Pengarang (menjalankan tugas-tugas Ketua Pegawai Eksekutif) Pertubuhan Berita Nasional Malaysia Nur-Ul Afida Kamaludin dan Ketua Bahagian Koordinasi Negeri MCMC Bukhari Yahya serta Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan.

Fahmi berkata pihaknya juga akan meminta penyedia perkhidmatan terbabit melaporkan kerja-kerja penambahbaikan yang dilakukan kepada Kementerian Komunikasi melalui MCMC.

“MCMC juga terus memantau perkara ini sepanjang suku pertama tahun 2024 dan akan mengemukakan laporan kepada Kementerian Komunikasi,” katanya sambil menambah ujian itu juga seiring dengan inisiatif Kerajaan Negeri Melaka yang giat dalam penganjuran Tahun Melawat Melaka 2024.

Beliau berkata sesi ujian itu tepat pada masanya bagi memastikan aktiviti pelancongan berjalan lancar dengan peningkatan kualiti perkhidmatan selular di Melaka,khususnya di lokasi tarikan pelancong.

Melaka adalah negeri kedua ujian itu selepas sesi pertama diadakan di ibu negara yang membabitkan perjalanan dari Bangunan Parlimen ke Kementerian Komunikasi di Putrajaya pada 9 Jan lepas.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)