Tempat perkelahan Jeram Pasu ditutup sementara

Tempat perkelahan Jeram Pasu ditutup sementara

KOTA BHARU,. Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan dan Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP) memutuskan untuk menutup sementara pusat perkelahan Jeram Pasu, Pasir Puteh berikutan fenomena ‘kepala air’.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Puteh Azhar Elmi Mustofar berkata pihaknya sudah menjalankan pemantauan di pusat perkelahan itu dan fenomena ‘kepala air’ tersebut disahkan berlaku kira-kira 12 tengah hari tadi di tapak perkelahan terbabit.

“Berikutan kejadian itu, pihak kami mengadakan perbincangan dengan MDPP untuk menutup sementara tempat perkelahan Jeram Pasu ini menggunakan papan tanda dan bendera merah.

“Ia bagi memberi amaran kepada pengunjung mengenai kemungkinan risiko berdepan bahaya yang di tapak perkelahan itu,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Sejak petang tadi, tular beberapa video di media sosial dan aplikasi WhatsApp menunjukkan fenomena ‘kepala air’ di tapak perkelahan tersebut.

Fenomena ‘kepala air’ sering berlaku di kawasan air terjun berikutan limpahan air hujan yang bertakung di puncak bukit atau gunung akibat hujan lebat.

Antara tanda awal akan berlakunya fenomena ‘kepala air’ termasuklah peningkatan air sungai secara mendadak dan bergelombang.

Azhar Elmi turut mengingatkan pengunjung supaya mendapatkan maklumat semasa berkaitan cuaca di sesuatu tempat terutama di kawasan rekreasi membabitkan bukit, gunung, jeram mahupun pantai bagi mengelak sebarang risiko kepada mereka.

Katanya JBPM Kelantan akan menggandakan pemantauan di kawasan rekreasi berisiko terutama pada musim tengkujuh ini bagi memberi amaran kepada pengunjung mengenai bahaya yang boleh berlaku kepada mereka.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )