Tempoh operasi 54 Pusat Internet Komuniti di PPR dilanjutkan: MCMC

Tempoh operasi 54 Pusat Internet Komuniti di PPR dilanjutkan: MCMC

KUALA LUMPUR,. Kerajaan dan syarikat telekomunikasi bersetuju melanjutkan tempoh operasi 54 Pusat Internet Komuniti (PIK) di kawasan Program Perumahan Rakyat (PPR) di seluruh negara, demikian menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

MCMC dalam kenyataan semalam memaklumkan pelanjutan operasi itu melibatkan 17 PIK di Wilayah Persekutuan dan 37 PIK di lain-lain negeri bagi memberi kemudahan capaian Internet kepada golongan pelajar dan warga B40 yang mendiami kawasan tersebut susulan pengumuman pakej rangsangan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI), baru-baru ini.

“PIK dibuka dari jam 9 pagi hingga 9 malam, setiap hari kecuali pada hari cuti umum, sejak 8 Januari hingga hujung April depan.

“Diharapkan langkah ini dapat membantu isi rumah dan pelajar terutamanya calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2021 untuk mengikuti pembelajaran serta melakukan urusan harian secara dalam talian dengan murah dan selesa di PIK,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, MCMC memaklumkan 130 PPR di seluruh negara dikenal pasti untuk menerima akses WiFi percuma yang dipasang oleh syarikat-syarikat telekomunikasi utama.

“Setakat ini, WiFi percuma di 121 PPR telah beroperasi manakala baki sembilan PPR dijangka menerima kemudahan ini pada 5 Februari ini.

“Ia dilaksana bagi merangsang keupayaan penduduk PPR menggunakan platform dalam talian untuk meningkatkan kegiatan ekonomi, peka dengan perkembangan semasa dan menambah kemahiran,” katanya.

Susulan kemudahan dan keistimewaan itu, MCMC dan syarikat-syarikat telekomunikasi berharap penduduk PPR, pelajar dan seluruh rakyat amnya, dapat memanfaatkannya ke arah meningkatkan pencapaian akademik serta menjana pendapatan tambahan menerusi aktiviti perniagaan dalam talian.

“Inisiatif ini merupakan sebahagian usaha MCMC untuk merapatkan jurang digital dalam kalangan rakyat yang kurang berkemampuan agar tidak ketinggalan dalam arus pembangunan berasaskan teknologi digital,” menurut kenyataan itu.

Pada masa sama, MCMC memaklumkan pemberian data percuma 1GB sehari yang dimulakan sejak April 2020 dilanjutkan sehingga hujung April depan dengan kos untuk tahun ini mencecah RM500 juta.

Syarikat telekomunikasi utama juga menawarkan pakej langganan khas untuk pelajar yang bakal menduduki SPM, STPM dan penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) yang dilaksanakan sejak 6 Januari hingga akhir April depan, menawarkan pas data 15GB dengan harga serendah RM20 sebulan.

Syarikat telekomunikasi ini juga menyediakan kelas tuisyen dalam talian secara percuma seperti Tuisyen Rakyat oleh Celcom, Jom Tuisyen (Digi), e-Kelas (Maxis) dan I-Learn Ace (Telekom Malaysia) serta YTL Communications Sdn Bhd (YTL) yang melanjutkan inisiatif Learn From Home (LFH) sehingga 30 April dan turut merangkumi penuntut IPT, menurut kenyataan itu.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )