Terbuka Malaysia 2022: Tugas getir menanti Jonatan di separuh akhir

Terbuka Malaysia 2022: Tugas getir menanti Jonatan di separuh akhir

KUALA LUMPUR,. Tugas getir menanti perseorangan lelaki Indonesia Jonatan Christie yang dijadual berdepan pemain nombor satu dunia Viktor Axelsen di separuh akhir kejohanan badminton Terbuka Malaysia 2022, hari ini.

Jonatan turun selaku pilihan ketujuh kejohanan menyingkirkan pemain India H.S Prannoy 21-18, 21-16 pada pusingan suku akhir di Arena Axiata Bukit Jalil semalam, manakala pemain dari Denmark itu mengecewakan seorang lagi pemain Indonesia Anthony Sinisuka Ginting 21-18, 17-21, 12-21.

Pemain berusia 24 tahun yang kini menghuni ranking kelapan dunia itu melaungkan amaran awal sambil menyifatkan pertembungan hari ini juga sebagai misi balas dendam atas kekalahan Ginting di tangan Axelsen.

“Ya, saya akan berjuang bukan sahaja untuk Ginting namun sudah pasti Indonesia sekali.

“Saya bersyukur dapat hasil positif hari ini tapi perjuangan belum selesai ada tugas getir menanti melawan Axelsen,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan.

Bagaimanapun, Jonatan enggan meletakkan tekanan terhadap dirinya biarpun reputasi dimiliki Axelsen yang mengungguli empat kejohanan tahun ini termasuk Terbuka Indonesia 2022, bulan lepas.

Juara Sukan Asia 2018 itu berharap beliau serta Axelsen dapat mempamerkan perlawanan terbaik untuk peminat sukan badminton di stadium hari ini.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )