Terbuka Singapura: Kejohanan kelayakan terakhir badminton ke Tokyo dibatalkan

Terbuka Singapura: Kejohanan kelayakan terakhir badminton ke Tokyo dibatalkan

KUALA LUMPUR,. Terbuka Singapura yang merupakan kejohanan kelayakan terakhir badminton ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 telah dibatalkan, semalam.

Persekutuan Badminton Dunia (BWF) dalam satu kenyataan menyatakan, keputusan untuk membatalkan kejohanan yang dijadualkan dari 1-6 Jun itu, merupakan keputusan bersama antara BWF dan Persatuan Badminton Singapura (SBA).

Kejohanan Super 500 dalam Jelajah Dunia BWF itu, merupakan kejohanan terakhir yang menawarkan mata ranking ‘Race to Tokyo’ (RTT) dalam sesi kelayakan ke Olimpik yang akan berakhir pada 15 Jun.

“BWF mengesahkan yang kejohanan itu tidak akan dijadualkan semula. BWF akan mengeluarkan kenyataan berkaitan kelayakan acara badminton untuk Sukan Olimpik 2020 pada satu tarikh lain,” menurut kenyataan itu lagi.

Badan dunia badminton itu menyatakan, kesemua usaha telah dilakukan oleh penganjur dan BWF dalam memastikan situasi kejohanan yang selamat untuk semua peserta.

“Bagaimanapun, peningkatan kes COVID-19 di seluruh dunia, menyebabkan cabaran yang sukar dalam menguruskan perjalanan masuk ke Singapura. Oleh sebab itu demi kepentingan keselamatan dan kesihatan kesemua pemain, kakitangan kejohanan dan komuniti tempatan, maka kejohanan ini dibatalkan,” menurut kenyataan itu.

Pada Jumaat, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengumumkan penangguhan Terbuka Malaysia yang dijadualkan dari 25-30 Mei, selepas satu lagi kejohanan dalam RTT iaitu Terbuka India yang dijadualkan 11-16 Mei ditangguhkan dua minggu lepas, kedua-duanya akibat peningkatan kes COVID-19.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )