Terengganu Dalam Perancangan Bangunkan Industri Pesawat Ringan, MoU Segera Dimeterai

Terengganu Dalam Perancangan Bangunkan Industri Pesawat Ringan, MoU Segera Dimeterai

KUALA TERENGGANU, 19 Februari 2025 – Terengganu bakal mencipta sejarah sebagai negeri pertama yang terlibat dalam industri pembinaan pesawat ringan, dengan perjanjian persefahaman (MoU) bagi projek ini dijangka dimeterai tidak lama lagi.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar, menjelaskan bahawa kerajaan negeri sedang dalam perbincangan dengan syarikat Putra Aerospace Industries (PAI), dan telah memberikan persetujuan awal untuk meneliti lebih lanjut pelaksanaan projek ini.

“Pada asalnya, projek ini dirancang di lokasi lain sebelum pandemik COVID-19. Namun, selepas mengambil kira beberapa faktor, saya mencadangkan agar ia dibangunkan di Terengganu.

“Setakat ini, perbincangan telah dilakukan sebanyak empat kali, dan kini hanya menunggu kelulusan kerajaan negeri untuk penggunaan tanah. Kami juga tidak mengenakan sebarang syarat tambahan seperti pertukaran tanah, yang akan mempercepatkan proses pelaksanaan projek ini,” katanya selepas menghadiri Majlis Pelancaran Pelan Strategik Pertanian Terengganu 2024-2030 di Wisma Darul Iman.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan, serta Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dr. Azman Ibrahim.

Dalam satu kenyataan di Facebook, Ahmad Samsuri memaklumkan bahawa kerajaan negeri telah menerima kunjungan delegasi PAI, yang menyuarakan hasrat membangunkan projek ini di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Nerus. Projek ini dijangka melibatkan kawasan lebih 20 hektar dan akan dibangunkan dalam tiga fasa utama.

Sebagai sebahagian daripada pelaksanaan projek ini, kerajaan negeri sedang meneliti kemungkinan memiliki pegangan ekuiti, bagi memastikan penyertaan aktif dalam industri aeroangkasa yang berkembang pesat.

“Dalam masa yang sama, Kolej Universiti TATI dan TESDEC akan menjadi pusat latihan utama bagi melatih tenaga kerja tempatan untuk menyertai industri ini, sekali gus membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Terengganu,” katanya.

gerbangpost.com

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )