Terengganu mungkin terima tempias Taufan Kammuri – APM
KUALA NERUS,. Angkatan Pertahanan Awam (APM) Terengganu tidak menolak kemungkinan angin kencang serta ombak besar yang melanda negeri itu adalah tempias daripada Taufan Kammuri yang membadai Filipina.
Pengarahnya Lt Kol Che Adam A Rahman bagaimanapun berkata, kesan taufan itu tidak dijangka mengakibatkan banjir besar sekiranya keadaan cuaca beransur pulih.
Namun, pihaknya sentiasa berwaspada dengan sebarang kemungkinan sepanjang monsun timur laut ini.
“Kajian analisa daripada METMalaysia mendapati, ia mencapai ke Laut China Selatan agak melemah, dan sedikit (kemungkinan) implikasi (angin Taufan Kammuri) berkenaan, sehingga melanda ke perairan negara kita.
“Dijangkakan keadaan ombak setinggi hingga mencapai 4.5 meter dan angin berkelajuan di antara 50 dan 60 kilometer sejam di sepanjang pantai Terengganu, Kelantan dan juga Pahang,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Astro AWANI ketika melakukan pemantauan di Pantai Seberang Takir pada Rabu.
Che Adam berkata, angin kencang dan laut bergelora itu dijangka melanda sehingga 10 Disember seperti amaran yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) pada Rabu.
Terdahulu, Taufan Kammuri membadai beberapa wilayah di Filipina dan turut mengakibatkan kediaman musnah, bekalan elektrik terputus serta ratusan orang awam diarahkan berpindah.