Terengganu optimis capai sasaran 4.5 juta pelancong tahun ini

Terengganu optimis capai sasaran 4.5 juta pelancong tahun ini

MARANG,. Terengganu yakin mampu mencapai sasaran kedatangan pelancong sehingga 4.5 juta orang tahun ini biarpun negara masih berada dalam fasa pemulihan akibat wabak COVID-19.

Exco Pelancongan, Ariffin Deraman berkata sasaran itu dibuat berdasarkan corak kemasukan luar biasa pelancong ke negeri ini selepas kerajaan membenarkan aktiviti pelancongan disambung semula dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) Mei lalu.

Beliau berkata bermula tempoh tersebut, kadar tempahan hotel di semua destinasi pelancongan termasuk di pulau-pulau peranginan meningkat dengan mendadak iaitu 90 peratus pada hujung minggu dan melebihi 60 peratus pada hari biasa.

“Pada awalnya kita sasarkan kemasukan pelancong seramai 5.4 juta orang pada tahun ini, tetapi disebabkan penularan wabak COVID-19, sasaran diturunkan kepada 3.8 juta kerana pelbagai faktor.

“Bagaimanapun, selepas melihat aliran kemasukan semasa pelancong bermula Mei hingga ke hari ini, kita optimis mampu capai 4.5 juta orang pelancong sehingga akhir tahun ini,” katanya selepas merasmikan pelepasan peserta program Maghi Candat Sotong Terengganu 2020 di Jeti Pelancongan Marang, pada Sabtu.

Turut hadir Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Ab Rasid Jusoh.

Ariffin berkata menurut rekod, tempahan bagi rumah bot di Kenyir bagi waktu hujung minggu sudah penuh hingga Disember tahun ini manakala jumlah kemasukan pelawat ke Kenyir Elephant Village (KEV) yang sebelum ini sering ketandusan pelancong juga mencatat peningkatan mendadak iaitu sekitar 400 orang sehari pada hujung minggu.

Dalam pada itu, Ariffin turut mengingatkan semua pelancong supaya sentiasa mematuhi peraturan dan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan bagi mengelak penularan wabak COVID-19 yang belum berakhir.

Menurut beliau, pihak berkuasa tempatan dan agensi-agensi berkaitan telah mengedarkan risalah dan buku berkaitan SOP pada bulan lalu dan semua pihak wajib mematuhi arahan tersebut.

“Sebagai contoh program candat sotong kita hadkan hanya 10 orang dalam satu bot walaupun ia sebenarnya boleh memuatkan sehingga 20 orang pada satu-satu masa.

“Jika arahan ini tidak dipatuhi, kita akan ambil tindakan tegas kepada mereka yang terlibat bagi tujuan menjaga keselamatan semua orang,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)