Terengganu sasar capai 80 peratus imuniti kelompok lima bulan lagi

Terengganu sasar capai 80 peratus imuniti kelompok lima bulan lagi

SETIU,. Terengganu menyasarkan dapat mencapai 80 peratus imuniti kelompok dalam pemberian vaksin COVID-19 dalam tempoh lima bulan lagi, kata Pengarah Kesihatan Negeri Dr Nor Azimi Yunus.

Beliau berkata, sasaran itu berdasarkan lima strategi yang dirangka jabatan bersama Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) Terengganu yang sedang dan akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat.

“Kami yakin sasaran itu dapat dicapai sekiranya Terengganu menerima bekalan vaksin mengikut jadual dengan lancar malah kami telah menambah lima lagi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) awam pada 1 Jun menjadikan jumlah keseluruhan ialah 13 PPV beroperasi ketika ini.

“Pada April hingga Mei, kami ada lapan PPV di seluruh Terengganu dengan 3,808 individu menerima suntikan setiap hari dan jumlah itu meningkat kepada 5,380 individu setiap hari berikutan penambahan lima PPV baharu tersebut,” katanya kepada pemberita selepas meninjau program bantuan atau outreach pemberian vaksin di Kampung Bukit Mundok, pedalaman Setiu semalam.

Seramai 700 penduduk dari lapan kampung berhampiran antaranya Kampung Alor Lik, Kampung Bukit Aman, Kampung Sungai Las, Kampung Tayor dan Kampung Bukit menerima suntikan vaksin COVID-19 pada program itu semalam.

Dr Nor Azimi berkata, strategi kedua ialah memperbanyakkan program bantuan pemberian vaksin kepada penduduk di kawasan kampung terpencil di setiap daerah dan ia dimulakan di Ketengah Jaya, Dungun baru-baru ini melibatkan 500 penduduk, serta dua program serentak di Kota Putera, Besut dan Bukit Mundok, Setiu semalam.

“Strategi seterusnya ialah kolaboratif dengan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) untuk menjadikannya sebagai lokasi PPV terbaru yang mampu memberi suntikan kepada 1,500 individu hingga maksimum 3,000 individu setiap hari.

“Kemudian, kami juga merancang untuk mewujudkan PPV di masjid terpilih di setiap daerah untuk mempercepatkan proses pemberian vaksin ini kepada rakyat Terengganu,” katanya.

Selain itu, Dr Nor Azimi berkata, jabatan juga telah mendapat persetujuan daripada 12 Pengamal Perubatan Swasta (GP) setakat ini yang akan memberi suntikan vaksin COVID-19 kepada pesakit mereka.

“Kami optimis dengan adanya lima strategi utama ini, sasaran seramai 195,340 individu akan menerima suntikan setiap bulan akan tercapai seterusnya berjaya mendapatkan 80 peratus imuniti kelompok dalam tempoh lima bulan lagi,” katanya.

Sementara itu, tinjauan Bernama mendapati penduduk kampung termasuk warga emas teruja mendapatkan suntikan apabila menerima maklumat program dari Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) minggu lepas.

Penduduk Kampung Alor Lik, Abdul Rahman Majid, 85, mengakui beliau tidak memahami butiran terperinci mengenai suntikan vaksin itu namun tetap akur datang ke program anjuran CITF Setiu semalam setelah diberitahu ketua kampung ia penting untuk kesihatannya.

“Pok manalah tahu semua ni, tapi tadi doktor kabor kena cucuk nak jaga badan. Pok ikut sajalah asalkan bagus untuk diri kita dan semua,” katanya yang dibantu urus setia program menggunakan kerusi roda untuk mendapatkan suntikan.

Bagi Mohd Lazim Jusoh, 72, pula berterima kasih kepada JKNT dan CITF Setiu kerana sanggup datang ke kampungnya semalam untuk memberi suntikan vaksin.

“Kita sini memang jauh dari bandar, paling dekat pun Kuala Berang…kalu (kalau) nak gi (pergi) suntik ke sana tu memang payah sikit jauh jaraknya dari kampung…bila ada program macam ni mudah sangat untuk orang kampung,” katanya.

— Bernama

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )