Terus gilap teknik individu untuk aksi lebih cemerlang acara terjun seirama wanita

Terus gilap teknik individu untuk aksi lebih cemerlang acara terjun seirama wanita

SEPANG,. Meskipun mempunyai persefahaman yang baik bersama rakan penerjun Nur Dhabitah Sabri, ratu terjun negara Datuk Pandelela Rinong, tidak memandang mudah cabaran yang akan dihadapi pada acara 10 meter (m) platform seirama wanita di Sukan SEA Hanoi, Vietnam.

Beliau berkata untuk memastikan mereka dapat mempamerkan aksi yang cemerlang dalam acara itu, teknik terjunan masing-masing perlulah terus digilap.

“(Persefahaman) saya rasa okey sebab dah berlatih bersama-sama, namun kami berharap segalanya berjalan lancar menerusi persiapan yang dilakukan supaya di dalam pertandingan kami boleh beraksi dengan baik.

Buat masa ini penyelarasan dan persefahaman adalah baik tetapi cuma dari segi teknik individu kami perlu menggilapnya lagi ,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) di sini hari ini.

Acara sukan terjun dijadualkan berlangsung pada 8 hingga 11 Mei di Pusat Akuatik Mỹ Đình.

Sementara itu, Nur Dhabitah ketika diminta mengulas mengenai gandingannya bersama Pandelela menyifatkan ia bukanlah sesuatu yang baharu.

“Saya dah pernah ‘synchro’ (gerakan sama) dengan dia (Pandelela) sebelum ini dan kami pun dah pernah menang dalam beberapa kejohanan….jadi ini bukan gandingan kali pertama.

“Cuma untuk Sukan SEA ini, ia adalah kali pertama tapi saya pasti jika komunikasi antara kami okey, kerjasama sepasukan okey semuanya akan jadi okey,” katanya.

Sebelum ini, gandingan Pandelela dan Nur Dhabitah pernah memenangi pingat gangsa pada Sukan Komanwel 2014 di Glasgow 2014, Scotland dan pingat perak pada Siri Terjun Dunia FINA keempat di Windsor, Kanada pada 2017.

Sukan SEA ke-31 di Hanoi, Vietnam dijadual berlangsung 12 hingga 23 Mei ini.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)