Tesco akan ambil 600 pekerja di seluruh negara

Tesco akan ambil 600 pekerja di seluruh negara

KUALA LUMPUR, 7 April — Tesco Stores (Malaysia) Sdn Bhd akan mengambil lebih 600 pekerja dalam tempoh lapan minggu akan datang bagi menampung permintaan yang mendadak terhadap perkhidmatannya susulan COVID-19 dan bersempena kedatangan Ramadan dan Hari Raya.

Ketua Sumber Manusia Tesco, Alvin Low berkata pekerja baharu itu akan ditempatkan di 60 cawangan Tesco di seluruh negara serta perkhidmatan penghantaran dalam talian, Tesco Online.

“Pandemik COVID-19 telah menyebabkan peningkatan permintaan yang mendadak bagi produk makanan dan keperluan rumah.

“Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, kami mendapati pesanan melalui Tesco Online semakin meningkat dan kami memerlukan semua bantuan yang ada untuk memberi perkhidmatan sebaik mungkin kepada pelanggan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Low berkata dengan kemasukan pekerja-pekerja baharu, kakitangan sedia ada Tesco akan mendapat rehat yang secukupnya dan mencapai keseimbangan yang lebih baik dalam kehidupan dan pekerjaan bagi mengharungi tempoh yang sukar ini.

Beliau berkata rakyat Malaysia berusia antara 18-60 tahun dengan kelayakan minimum Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) layak memohon kekosongan ini di samping turut menggalakkan orang kurang upaya untuk menyertai pasukan Tesco.

Mereka yang berminat boleh menghantar e-mel kepada [email protected] atau menghubungi talian perkhidmatan pelanggan di talian 1300-13-1313 atau hadir ke mana-mana cawangan Tesco berdekatan untuk mendapatkan borang permohonan.

“Kami berharap lebih ramai akan menyertai kami kerana kami telah menyelaraskan sistem pengambilan pekerja dan temuduga juga dibuat menerusi panggilan telefon supaya calon-calon tidak melanggar arahan PKP,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)