
Tesco Malaysia bekerjasama dengan Unilever, PINTAR Foundation bantu pelajar daripada keluarga B40
KUALA LUMPUR,. Tesco Stores (Malaysia) Sdn Bhd bekerjasama dengan Unilever Malaysia dan PINTAR Foundation dalam program Kembali Teguh untuk membantu melengkapkan pelajar daripada keluarga B40 dengan keperluan untuk musim persekolahan yang akan datang.
Tesco berkata ia akan menyediakan kit kembali ke sekolah kepada pelajar, manakala Unilever akan menyumbang baucar Tesco bernilai RM100 untuk setiap pelajar daripada dana Donate to Help yang berlangsung di cawangan Tesco dari 19 Nov hingga 2 Dis 2020.
“Bagi setiap pembelian produk Unilever gabungan melebihi RM35 dalam satu resit, RM1 disalurkan ke tabung ini dan kini diserahkan sebagai baucar kepada pelajar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Selain itu, PINTAR akan menyediakan kit COVID-19 yang terdiri daripada pelitup muka, tisu basah dan sabun tangan kepada para pelajar untuk memastikan mereka kekal selamat dan sihat semasa di sekolah.
Jenama kepakaran kebersihan Unilever, Lifebuoy, juga akan menyumbang kepada kit COVID-19 dengan menyediakan cecair sanitasi tangan 50ml.
Pengarah Perkhidmatan Korporat Tesco Azliza Azmel berkata kerjasama itu untuk memastikan anak-anak ini bukan sahaja dilengkapi secara fizikal untuk tahun persekolahan baharu tetapi juga bersedia secara mental dengan mengajar mereka kemahiran yang diperlukan untuk terus bermotivasi di sekolah.
“Kami telah bekerjasama dengan Unilever dan PINTAR secara berasingan pada masa lalu dengan hasil yang sangat memberangsangkan.
“Bagaimanapun, kami percaya dengan memanfaatkan setiap kekuatan kami secara kolektif sekarang, kami dapat menghasilkan impak yang lebih besar lagi bagi anak-anak yang sangat memerlukannya,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Pembangunan Pelanggan Unilever Malaysia, Jay Go berkata ini adalah tahun ketiga pihaknya bekerjasama dengan Tesco untuk tabung Unilever Donate to Help yang telah mengumpulkan dana sebanyak RM100,000 untuk pelajar yang kurang berkemampuan di rangkaian Sekolah Angkat Tesco di seluruh Malaysia.
— BERNAMA