TFC sah beraksi tanpa tiga tonggak pertahanan utama di Australia

TFC sah beraksi tanpa tiga tonggak pertahanan utama di Australia

KUALA NERUS,. Terengganu FC (TFC) sah tidak akan menurunkan tiga tonggak pertahanan utamanya pada perlawanan menentang pasukan Australia Central Coast Mariners FC, bagi saingan Piala Konfederasi Asia (AFC) Rabu ini.

Tiga pemain tersebut ialah Azam Azmi, Alif Zakaria dan tonggak pertahanan tengah Shahrul Nizam Ros Hasni, yang dibelenggu masalah kecederaan.

Ketua jurulatih TFC Tomislav Steinbruckner berkata persiapan skuad Penyu agak terjejas dan sedikit tempang, dengan ketiadaan tiga tonggak berkenaan.

Justeru, beliau akan melakukan rombakan di barisan kesebelasan utama, bagi memastikan skuad Penyu berupaya mengutip tiga mata, sekali gus tampil ke kedudukan teratas Kumpulan G yang turut diwakili pasukan Indonesia Bali United FC dan kelab Filipina Stallion Laguna FC.

“Azam Azmi tidak akan bersama… Alif Zakaria tidak akan bersama…Shahrul Nizam juga tidak akan bersama.

“Hanya Safwan Mazlan (pertahanan tengah) akan mengikut kami pada Ahad (semalam). Tetapi beliau juga dalam keadaan cedera. Kami ada dua sesi latihan di sana (Australia). Jadi, sebelum perlawanan saya perlu buat keputusan sama ada beliau boleh bermain atau tidak,” katanya ketika ditemui sebelum berlepas ke Australia semalam.

Steinbruckner berkata walaupun tanpa skuad utama itu, beliau yakin anak buahnya tetap akan memberi persembahan terbaik untuk membolehkan skuad Penyu mara ke peringkat seterusnya di Piala AFC.

TFC dijadualkan menentang kelab Central Coast Mariners FC Rabu ini di Industree Group Stadium, Gosford, Australia.
Pada perlawanan pertama di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) 20 Sept lepas, TFC berjaya menewaskan skuad bimbingan Abbas Saad itu dengan keputusan 1-0.

Kedudukan terkini Kumpulan G Piala AFC menyaksikan Central Coast Mariners FC menduduki tangga teratas dengan sembilan mata, diikuti TFC (lapan mata) Bali United FC (empat mata) dan terakhir, Stallion Laguna FC (satu mata).

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)