TH rangka pelan tindakan 2020-2024 tambah baik perkhidmatan haji

TH rangka pelan tindakan 2020-2024 tambah baik perkhidmatan haji

KUALA LUMPUR,. Lembaga Tabung Haji (TH) sedang merangka pelan tindakan (blueprint) untuk tempoh lima tahun dari 2020 hingga 2024 bagi menambah baik mutu perkhidmatan dan operasi haji yang dikendalikan institusi itu.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Nik Mohd Hasyudeen Yusoff berkata pelan tindakan yang julung kali diperkenalkan itu dijangka siap pada suku pertama tahun depan, akan membolehkan TH membuat perancangan awal seiring pembangunan di Makkah dan Madinah.

“Di Tanah Suci ada banyak perubahan fizikal seperti hotel lama yang diruntuhkan, dibina baharu, ada juga penempatan-penempatan baharu, dan ia memerlukan TH untuk menilai perkhidmatan yang diberikan.

“Sebagai contoh, hotel-hotel kita terletak 950 meter dari Masjidil Haram, dan sekiranya makin jauh akan beri implikasi kepada jemaah,” katanya dalam sidang media baru-baru ini.

Jelas beliau, pelan tindakan itu turut mengambil kira Visi 2030 Arab Saudi khususnya yang melibatkan pembangunan dan pembaharuan di Tanah Suci bagi membolehkan TH terus meningkatkan perkhidmatan haji.

Pada masa ini, Nik Mohd Hasyudeen berkata TH sedang mengumpul maklumat dan pandangan daripada pihak-pihak berkepentingan untuk merealisasikan pelan tindakan tersebut. Mengenai sama ada perubahan di Tanah Suci akan memberi kesan kepada kos pengurusan haji, beliau berkata ia cabaran buat TH untuk mencari kaedah terbaik dalam menyediakan perkhidmatan berkualiti.

“Satu cabaran pada kami sebab kita tahu kos sentiasa meningkat tapi kita kena cabar diri sama ada terdapat kaedah lain yang boleh diambil namun memberi kesan kepada perkhidmatan. Contohnya, kalau jarak lebih jauh dari hotel, bagaimana pula kesan daripada segi jemaah yang nak pergi masjid, perlu ada bas ke, atau macam mana?

“Perkara seperti ini yang kita kena perhalusi dengan mengambil kira umur jemaah, kemudahan mereka untuk bergerak, tak boleh ambil jalan mudah yang kemudiannya apabila jemaah sampai ke sana mereka hadapi kesukaran,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )