Thailand minta Sinovac sediakan lebih banyak data ujian klinikal

BANGKOK, 14 Jan — Thailand meminta lebih banyak hasil data ujian klinikal vaksin COVID-19 daripada syarikat farmaseutikal China, Sinovac Biotech Ltd, sebelum mendapatkan bekalan kumpulan pertama vaksin tersebut bulan depan.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA), Thaweesilp Wissanuyothin berkata pertimbangan utama negaranya terhadap vaksin COVID-19 adalah keselamatan dan keberkesanannya.

Pada masa ini, katanya, Pentadbiran Makanan daqn Perubatan (FDA) Thailand telah menerima permohonan pendaftaran vaksin daripada AstraZeneca dan Sinovac.

“FDA Thailand sudah membuat permintaan kepada Sinovac untuk memberikan lebih banyak maklumat terperinci mengenai ujian klinikal,” katanya pada taklimat harian COVID-19 di sini hari ini.

Keberkesanan vaksin Sinovac telah mencetuskan kebimbangan berikutan data daripada hasil ujian di Brazil menunjukkan bahawa ia hanya 50.4 peratus berkesan untuk mencegah jangkitan simptomatik.

Bagaimanapun, Ketua Pengarah Jabatan sains Perubatan Supakit Sirilak berkata Thailand berada di landasan tepat untuk menerima vaksin Sinovac dari China itu mulai bulan depan walaupun ujian klinikal menunjukkan tahap keberkesanan yang lebih rendah.

Thailand memperoleh dua juta dos vaksin COVID-19 yang dibangunkan oleh Sinovac dengan penghantaran pertama sebanyak 200,000 dos dijangka diterima menjelang hujung bulan depan, 800,000 dos pada hujung bulan Mac serta sejuta dos lagi menjelang akhir April ini.

Di bawah Pelan Vaksinasi Kebangsaan, Thaweesilp berkata kumpulan pertama bekalan vaksin sebanyak 200,000 dos itu akan diberikan kepada kumpulan berisiko tinggi di kawasan penularan yang tinggi termasuk petugas perubatan, pesakit mengalami masalah kesihatan lain serta warga emas berusia 60 tahun ke atas.

Selain bekalan daripada Sinovac, Thailand turut menempah 61 juta dos vaksin daripada firma farmaseutikal multinasional Britain-Sweden, Oxford-AstraZeneca.

Syarikat biofarmaseutikal Thailand, Siam Bioscience, akan menghasilkan vaksin Covid-19 dengan menggunakan formula dan teknologi yang dibangunkan oleh AstraZeneca Plc, dengan bekalan pertama dijangka siap sebelum Mei ini.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )