Thailand rancang perkenal lebih banyak produk, perkhidmatan untuk tarik pelawat Malaysia

Thailand rancang perkenal lebih banyak produk, perkhidmatan untuk tarik pelawat Malaysia

BANGKOK,. Pihak Berkuasa Pelancongan Thailand (TAT) merancang untuk melancarkan lebih banyak produk dan perkhidmatan pelancongan untuk menarik rakyat Malaysia melancong di luar Bangkok dan Hatyai dengan tumpuan kepada tawaran pelancongan baharu yang menarik di kawasan tengah, utara dan timur laut.

Gabenor TAT Thapanee Kiatphaibool berkata warga Malaysia mendahului senarai pelancong yang melawat Thailand dengan 4.56 juta pelawat daripada jumlah keseluruhan 28 juta pelancong pada 2023.

Beliau berkata data perjalanan menunjukkan bahawa pelancong Malaysia mencari lebih banyak aktiviti pelancongan yang berbeza sambil menghabiskan lebih banyak masa di Thailand.

“Tahun lalu, Thailand menyambut ketibaan ramai rakyat Malaysia, ada yang menyeberangi sempadan, menaiki penerbangan secara terus, bersama gelombang pelancong Malaysia yang baru menerokai Thailand.

“Data menunjukkan pengembara Malaysia sedang meluaskan destinasi jarak dekat mereka seperti Hatyai dan meneruskan pengembaraan untuk meneroka kawasan di utara, timur laut dan tengah Thailand. Ini adalah isyarat positif untuk industri pelancongan Thailand.

“Kami teruja untuk mengalu-alukan lebih ramai pelancong Malaysia pada tahun 2024 untuk mengenali Thailand,” katanya kepada Bernama.

Thapanee berkata TAT akan melancarkan lebih banyak produk dan aktiviti pelancongan di wilayah lain untuk menarik pelancong jarak dekat, terutamanya di Malaysia dan negara-negara ASEAN lain pada tahun ini.

Menurut kajian pelancongan baru-baru ini meliputi suku pertama hingga ketiga 2023, purata tempoh penginapan bagi pelancong di Thailand ialah 3.43 hari dengan purata perbelanjaan setiap perjalanan mencecah 16,588 baht.

Pada tahun 2023, Thailand yang dikenali sebagai ‘The Land of Smiles,’ menyambut seramai 28 juta pelawat antarabangsa. Kemasukan itu meningkatkan pendapatan pelancongan dengan ketara berjumlah 1.2 trilion baht (kira-kira US$35.02 bilion).

Lima negara teratas yang melawat Thailand ialah rakyat Malaysia (4.56 juta), China (3.51 juta), Korea Selatan (1.65 juta), India (1.62 juta) dan Rusia (1.48 juta).

Thailand menjangkakan untuk menerima 35 juta pelawat pada tahun 2024 – kurang daripada rekod 39.8 juta ketibaan dan 1.91 trilion baht dalam hasil yang dijananya pada 2019.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)