The Exchange TRX akan capai penghunian penuh apabila dibuka pada suku keempat 2023

The Exchange TRX akan capai penghunian penuh apabila dibuka pada suku keempat 2023

KUALA LUMPUR,. Hab gaya hidup Tun Razak Exchange (TRX), The Exchange TRX, akan mencapai kadar penghunian penuh apabila dibuka kepada orang ramai pada suku keempat 2023, menurut pemaju hartanah Australia, Lendlease.

Lendlease dan pemaju induk TRX, TRX City Sdn Bhd, sedang bersama-sama membangunkan presint gaya hidup itu.

Pengarah Projek The Exchange TRX dan Ketua Peruncitan Lendlease Malaysia, Mitch Wilson berkata keyakinan itu berdasarkan sambutan menggalakkan daripada bakal penyewa yang terdiri daripada pihak tempatan dan antarabangsa setakat ini.

“Visi kami dan ciri-ciri penting strategi Lendlease dengan The Exchange TRX adalah untuk mewujudkan projek pendefinisian bandar dalam TRX, wilayah kewangan antarabangsa pertama di Malaysia,” katanya pada taklimat media mengenai perkembangan terkini mengenai projek itu di sini, pada Khamis.

Beliau berkata sebagai sebuah organisasi global, Lendlease akan mempamerkan kepakaran pembuatan tempat antarabangsanya di samping sejarah 43 tahunnya di Malaysia untuk memperkenalkan pendekatan eksklusifnya kepada peruncitan berpengalaman.

“Berasaskan platform global kami, kami mendapat kepercayaan peruncit dari seluruh dunia.

“Kami berterima kasih atas sokongan mereka dalam meningkatkan tahap penghunian kami mendahului nisbah pasaran memandangkan kedudukan kami yang kurang daripada setahun sebelum dibuka,” katanya.

Wilson berkata campuran runcit yang pelbagai, dilengkapi dengan aktiviti masa lapang dan hiburan yang dinamik, akan berperanan sebagai titik pembezaan utama dan mendorong pengunjung untuk berada lama dan membuat beberapa kali kunjungan.

The Exchange TRX, yang dianggap sebagai ‘presint gaya hidup di dalam taman’, akan merangkumi lebih 400 kedai pengalaman, di empat tingkat ruang runcit yang menampilkan format jenama baharu pasaran, kedai fesyen dan kedai imej baharu.

Beliau berkata penempatan gaya hidup seluas 6.78 hektar itu direka untuk menawarkan gambaran sekilas mengenai kehidupan bandar masa depan serta destinasi runcit progresif yang akan membawa reka bentuk pembuatan tempat antarabangsa dan piawaian kemampanan ke Malaysia.

“Apabila kami membuka pintu kepada orang ramai pada suku keempat 2023, destinasi sosial dan gaya hidup ikonik ini akan menarik bukan sahaja penduduk sektar yang semakin berkembang malah semua rakyat Malaysia serta pelawat antarabangsa,” katanya.

The Exchange TRX ialah pembangunan bersepadu terbesar Lendlease di Asia, merangkumi kira-kira 120,773.95 meter persegi daripada kawasan boleh sewa bersih (NLA).

Penyewa utama gaya hidup termasuk Golden Screen Cinemas, yang akan menawarkan pengalaman pawagam baharu yang hebat; gedung beli-belah Seibu, yang akan menjadi ruang makan Jepun yang menawarkan makan terbaik negara itu

‘depachika’ — pertama di Malaysia dan berkeluasan kira-kira 23,225.76 meter persegi merentas empat tingkat.

Terdapat juga pasar raya berskala besar oleh Dairy Farm Group of Hong Kong bersama-sama beberapa jenama mewah antarabangsa terkemuka di dunia, fesyen paling laris dan konsep baharu makanan dan minuman yang menarik.

Ciri unik The Exchange TRX ialah penyepaduannya yang lancar ke dalam taman aktiviti awam berbumbung seluas 4.05 hektar yang menawarkan peluang luar biasa serta mewujudkan pengalaman riadah berbilang dimensi untuk keluarga, komuniti bekerja dan pelawat.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)