Tiada arahan kemasukan penonton di Stadium Darul Aman dibatalkan – Exco

Tiada arahan kemasukan penonton di Stadium Darul Aman dibatalkan – Exco

ALOR SETAR,. Setakat ini masih tiada arahan yang membatalkan kemasukan penonton untuk menyaksikan perlawanan Liga Super antara Kedah Darul Aman FC (KDA FC) menentang Kuala Lumpur City FC di Stadium Darul Aman di sini, malam ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Seni dan Budaya, Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Mohd Firdaus Ahmad berkata, pada masa ini penonton yang telah membeli tiket bagi menyaksikan perlawanan itu masih dibenarkan masuk ke stadium.

“Kemasukan penonton seperti yang telah diluluskan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebanyak 6,000 penonton dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ketat,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini .

Mohd Firdaus berkata demikian ketika ditanya sama ada penonton masih dibenarkan masuk untuk menyaksikan perlawanan KDA FC berdepan Kuala Lumpur City FC selepas daerah Kota Setar bertukar menjadi Zon Merah, semalam berikutan peningkatan kes positif COVID-19.

Ini berikutan, pemantauan Bernama di laman sosial mendapati segelintir penonton pasukan Hijau Kuning itu menyatakan kegusaran mereka sama ada dibenarkan menonton perlawanan di stadium berikutan daerah Kota Setar mencatat peningkatan mendadak kes positif pandemik tersebut.

KDA FC yang bakal berdepan Kuala Lumpur City FC malam ini dijangka menurunkan pemain import, Renan Alves buat pertama kalinya musim ini selepas pemain kelahiran Brazil itu pulih daripada kecederaan.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )