
Tiada Golongan Yang Tercicir” Dasar Holistik Lawan Covid-19 -Dr Dominic Lau Hoe Chai
KUALA LUMPUR, March 27 —
Pengumuman Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin yang bertemakan “Tiada Golongan Yang Tercicir” oleh Perdana Menteri Negara, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebentar tadi adalah secara menyeluruh merangkumi semua aspek keperluan rakyat dan perniagaan.
Sebanyak RM 250 Bilion telah diumumkan dalam pakej rangsangan ini, daripada jumlah ini sebanyak 51.2% adalah untuk rakyat secara terus, 40% untuk perniagaan, 0.8% untuk memperkukuhkan ekonomi negara dan bakinya seperti yang diumumkan sebelum ini.
Gerakan pernah mencadangkan kepada kerajaan untuk menyalurkan wang tunai secara terus kepada kumpulan B40 dan M40, ini penting dalam menjamin kuasa beli pengguna dan melaraskan kitaran wang tunai dalam pasaran. Walaupun penyaluran one-off ini akan sedikit sebanyak membantu masyarakat kita dalam menghadapi keadaan ekonomi semasa, adalah signifikan jika kerajaan dapat memberi bantuan wang tunai secara bulanan, sekurang-kurangnya untuk 6 bulan yang akan datang kepada penerima B40, khususnya.
Gerakan juga berpendapat pengecualian bayaran perumahan PPR, perumahan awam, diskaun elektrik, bantuan tambahan kepada sektor pertanian dan perikanan untuk beberapa bulan yang akan datang adalah sasaran yang tepat dalam misi membantu rakyat.
Sebagai langkah penghargaan, tindakan kerajaan menyalurkan elaun khas bulanan tambahan kepada penjawat awam, terutamanya yang berada dalam barisan hadapan dalam memerangi wabak ini seperti dalam kumpulan kesihatan dan keselamatan adalah amat dipuji. Suntikan ini akan pasti membantu golongan yang bertungkus-lumus dalam menjaga benteng negara daripada ancaman wabak ini.
Parti Gerakan Rakyat Malaysia sangat bersyukur kerana bantuan dan dana yang diperkenalkan dapat membantu semua rakyat yang terdiri daripada pelbagai peringkat untuk menghadapi bencana ini. Malah skop ransangan yang diperkenalkan adalah menyeluruh dan lestari.
Gerakan berharap kerajaan akan senantiasa mengkaji keperluan rakyat, kehendak ekonomi dan keadaan kesihatan kewangan negara dalam menyalurkan bantuan sebagai suntikan pembangunan, pengekalan sosial-ekonomi masyarakat di tahap yang memuaskan. Juga berharap, rakyat akan berkerjasama dengan kerajaan, berdiri teguh dalam menghadapi perang wabak pandemik Covid-19 ini. Sekarang tiba masanya, untuk kita tidak kira latar belakang, bersamalah kita melawan Covid-19 ini.
Orang ramai yang berminat untuk menghulurkan bantuan sempena bencana Covid-19 boleh terus hubungi seketariat kami atau secara transaksi ke akaun Maybank 514 404 801 710 untuk meringankan beban petugas barisan hadapan negara.
Dr Dominic Lau Hoe Chai
Presiden Nasional Parti GERAKAN Rakyat Malaysia
Source : https://www.facebook.com/DominicLauGerakan/