Tiada kecacatan pada struktur pangsapuri The Rise

Tiada kecacatan pada struktur pangsapuri The Rise

GEORGE TOWN,. Projek perumahan mampu milik kerajaan negeri Pulau Pinang, The Rise di Jalan S.P Chelliah di sini, tidak mempunyai sebarang kecacatan pada struktur bangunan, kata Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perbandaran dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Jagdeep Singh Deo.

Beliau berkata orang ramai terutamanya pembeli rumah tersebut tidak perlu risau kerana pangsapuri itu telah memperoleh Sijil Perakuan Penyiapan dan Pematuhan (CCC).

“Untuk makluman semua, projek ini merangkumi tiga blok iaitu satu blok rumah mampu milik dan dua blok rumah kos sederhana rendah. Daripada 2,093 unit ketiga-tiga blok itu, CCC telah diperolehi untuk blok rumah mampu milik yang merangkumi 1,048 unit.

“Segelintir orang akan bertanya macam mana sijil CCC boleh dikeluarkan jika ada kecacatan pada struktur bangunan tersebut. Untuk mendapatkan CCC, kita memerlukan kelulusan daripada pelbagai agensi yang telah pun memberi kelulusan yang menunjukkan secara fizikal, tiada kecatatan struktur yang berlaku. Ia telah melalui proses yang sangat ketat,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris yang mendakwa terdapat sebilangan pembeli rumah mampu milik pangsapuri itu yang tidak berpuas hati dengan kecacatan dan kerosakan pada unit rumah berkenaan.

Mereka berpendapat harga rumah yang telah dibeli dalam lingkungan harga dari RM200,000 sehingga RM300,000 dianggap sebagai tidak munasabah dengan kecacatan yang terdapat pada rumah berkenaan.

Jagdeep turut mengesahkan pihaknya melalui Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dan pihak pemaju, Zubicon Sdn Bhd telah menerima kira-kira 500 aduan daripada pembeli unit-unit rumah tersebut.

Katanya sebagai wakil kerajaan negeri, beliau mahu memastikan semua kecacatan di dalam unit-unit rumah itu dibaik pulih dan aduan-aduan yang dibuat pembeli akan diambil sebagai perhatian yang serius.

“Daripada laporan yang saya terima daripada PDC, kecacatan dalam unit rumah itu ialah kecacatan kerja-kerja akhir. Di bawah perjanjian jual beli (SPA), terdapat tempoh masa kecacatan (DLP) (yang merupakan) satu tempoh masa sekiranya ada apa-apa kecacatan dalam unit rumah yang memerlukan pihak pemaju membaik pulih.

“Saya telah arahkan pihak pemaju untuk membaik pulih secepat mungkin. Daripada penerimaan aduan, di dalam tempoh 30 hari ia perlu dibaik pulih. Jadi saya nasihatkan pembeli mengajukan aduan mereka secara rasmi menerusi surat,” kata Jagdeep.

Turut hadir dalam sidang akhbar tersebut ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar Teh Lai Heng, serta wakil-wakil daripada PDC dan Zubicon Sdn Bhd.

Sementara itu, Jagdeep memaklumkan bahawa Rumah Ibadat Sikh Wadda Gurdwara di Jalan Gurdwara yang berusia 118 tahun, ditutup sementara akibat ketidakstabilan struktur bangunan dan lokasi sementara telah dibuka memandangkan bangunan lama tersebut perlu melalui proses baik pulih.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)