Tiada kompromi terhadap pelaku kes dera kanak-kanak – Ras Adiba

Tiada kompromi terhadap pelaku kes dera kanak-kanak – Ras Adiba

KUALA LUMPUR,. Kerajaan disaran menubuhkan pasukan petugas khas membabitkan agensi penguat kuasa bagi membanteras jenayah penderaan kanak-kanak di negara ini.

Selain itu, Seksyen 31 Akta Kanak-Kanak 2001 harus dipinda dengan segera bagi membolehkan pelaku dikenakan hukuman yang lebih berat dan setimpal.

Ahli Dewan Negara mewakili Orang Kurang Upaya (OKU) Senator Datuk Ras Adiba Radzi, yang memandang serius kes penderaan kanak-kanak yang kian meruncing di negara ini, berkata beliau tidak akan sama sekali berkompromi dengan kesalahan membabitkan golongan itu terutama OKU.

“Tindakan tegas wajib diambil dan pelaku kes penderaan serta penganiayaan kanak-kanak perlu dihadapkan ke muka pengadilan supaya isu penderaan kanak-kanak di negara ini tidak berterusan.

“Saya menggesa agar pihak berkuasa tidak berkompromi dengan mana-mana pihak yang disyaki terlibat dengan penderaan dan penganiayaan kanak-kanak yang menjadi kesalahan jenayah di bawah Akta Kanak-Kanak 2001,” menurutnya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata usaha itu juga selaras dengan komitmen kerajaan kepada agenda Matlamat Pembangunan Mampan 2030 yang turut memberi penekanan untuk menamatkan penyalahgunaan, eksploitasi, pemerdagangan manusia dan segala bentuk keganasan serta penyiksaan terhadap kanak-kanak.

Katanya Jabatan Kebajikan Masyarakat melaporkan terdapat 2,040 kes penderaan terhadap kanak-kanak yang berlaku antara Januari hingga April tahun ini.

Ras Adiba turut meminta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bertindak proaktif untuk memastikan kanak-kanak di negara ini diberi keutamaan dari segi pemeliharaan serta perlindungan.

Beliau berkata semua lapisan masyarakat harus memainkan peranan serius serta melaporkan kes penderaan kepada pihak berkuasa kerana ini merupakan tanggungjawab bersama.

“Kita perlu berganding bahu untuk mengangkat satu mesej bahawa penderaan adalah satu jenayah. Kanak-Kanak ada hak dan ruang untuk menikmati sebuah kehidupan yang aman dan berkualiti.

“Semua pihak mesti patuhi Akta Kanak-Kanak 2001 serta Konvensyen Hak Kanak-Kanak yang telah diratifikasi oleh Malaysia pada tahun 1995,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )