Tiada lantikan politik dalam GLC tersenarai di Bursa Malaysia

Tiada lantikan politik dalam GLC tersenarai di Bursa Malaysia

KLANG,. Kerajaan Perpaduan tidak akan melakukan sebarang pelantikan ahli politik bagi jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang tersenarai di Bursa Malaysia, demikian ditegaskan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke

Loke, yang juga Menteri Pengangkutan, berkata malah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memaklumkan kepadanya bahawa beliau tidak berhasrat untuk melantik mana-mana ahli politik dalam syarikat jenis berkenaan.

Beliau menjelaskan kebanyakan ahli politik yang dilantik kini bukanlah melibatkan GLC tetapi ia adalah lantikan dalam badan berkanun.

“Dari segi pelantikan ahli politik, kita kena asingkan badan berkanun dan GLC. Kalau GLC umpamanya syarikat yang tersenarai dalam Bursa Malaysia seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB), Telekom Malaysia Bhd (TM) dan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), kita tidak setuju untuk meletakkan ahli politik.

“Yang dilantik sekarang bukan syarikat (GLC). Yang dilantik adalah badan berkanun, lembaga dan sebagainya. Ini adalah kawal selia. Bukan terlibat dalam perniagaan dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Tahunan Negeri DAP Selangor 2023 di sini, hari ini ,yang turut dihadiri Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Pengerusi DAP Selangor, Gobind Singh Deo.

Loke berkata di kementeriannya juga masih mengekalkan khidmat Pengerusi Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) Tan Sri Jamaludin Ibrahim yang merupakan seorang profesional dan tidak akan melantik ahli politik dalam syarikat berkenaan.

“Begitu juga MAHB. Tak ada lantikan politik dalam MAHB. Ini jelas. Kalau pentadbiran dulu and tahu siapa yang jadi Pengerusi Prasarana. Sekarang siapa Pengerusi Prasarana ?.

“Jadi tidak ada lantikan politik dalam GLC penting umpamanya Prasarana, MAHB, TM dan sebagainya. Itu saya yakin dasar tersebut akan terus dikekalkan oleh Perdana Menteri,” katanya.

Beliau mengulas pertanyaan pemberita berhubung lantikan politik melibatkan ahli politik PH dan UMNO susulan PH sebelum ini pernah mengkritik berhubung perkara berkenaan. – BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)