Tidak patuh SOP: 107 premis makanan dikompaun di Terengganu

Tidak patuh SOP: 107 premis makanan dikompaun di Terengganu

KUALA TERENGGANU,. Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu telah mengeluarkan 107 kompaun bernilai RM107,000 terhadap pemilik premis makanan kerana tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan sejak 10 Jun lepas.

Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu Dr Nor Azimi Yunus berkata daripada jumlah itu, Kemaman merekodkan jumlah kompaun tertinggi iaitu 39 diikuti Dungun (26), Setiu (22), Besut (11), Hulu Terengganu (tujuh) dan Kuala Nerus (dua).

“Selain itu, sebanyak 97 premis telah diarahkan tutup kerana tidak mematuhi SOP seperti tidak merekodkan butiran pelanggan dan tiada penjarakan dua meter antara meja pelanggan.

“Arahan tutup adalah antara tiga hingga tujuh hari bergantung kepada kesalahan dan tahap ketidakpatuhan pemilik premis terhadap SOP yang ditetapkan,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan Operasi Patuh Khas PKPP di sekitar bandar Kuala Terengganu semalam.

Seramai 161 pegawai penguat kuasa terlibat dalam operasi pematuhan SOP itu di semua premis seperti pasar raya, restoran, kedai makan, pasar awam dan pasar tani di seluruh Terengganu.

Dr Nor Azimi berkata sepanjang tempoh itu juga, pihaknya telah menjalankan pemeriksaan di 3,662 premis dan antara kesalahan yang sering dilakukan ialah tidak mengambil rekod suhu pekerja, tidak memastikan pengambilan suhu pelanggan yang tepat dan tiada penjarakan meja pelanggan.

“Kita bukanlah mengeluarkan kompaun atau arahan menutup kedai ini secara suka-suka namun ia bertujuan untuk menjaga kesihatan rakyat seluruh Terengganu, tambahan pula sejak kebelakangan ini berlaku peningkatan kes COVID-19 di dalam negara.

“Dengan mematuhi SOP yang ditetapkan, kadar kebolehjangkitan COVID-19 itu boleh diminimumkan….operasi ini juga akan diteruskan dari semasa ke semasa ke semua daerah,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak pergi ke premis makanan yang tidak mematuhi SOP dan berharap mereka membuat laporan kepada pejabat kesihatan berhampiran sekiranya ternampak premis makanan yang penuh sesak tanpa penjarakan sosial. — Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )