Tiga beregu negara mara ke suku akhir Terbuka China
KUALA LUMPUR,. Tiga beregu negara terpaksa bertarung habis-habisan pada pusingan kedua sebelum mengesahkan tempat ke suku akhir Kejohanan Badminton Terbuka China di Changzhou, China, semalam.
Pasangan Ong Yew Sin-Teo Ee Yi berjaya mengetepikan pilihan kelapan kejohanan dari Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen 21-18, 14-21, 25-23 pada pertarungan selama 74 minit.
Beregu profesional negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong pula mengalahkan beregu Denmark, Mathias Boe-Mads Conrad Petersen 21-13, 22-24, 27-25 selepas berentap selama 71 minit.
Gandingan profesional negara itu yang muncul juara Terbuka Taiwan, baru-baru ini, akan berdepan dengan pilihan utama dari Indonesia, Marxcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo pada saingan suku akhir esok.
Beregu Indonesia itu turut melalui saingan sengit sebelum menumpaskan beregu Korea Selatan, Choi Solgyu-Seo Seung Jae, 22-20, 18-21, 23-21.
Turut mara ke suku akhir adalah beregu campuran negara Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai yang mengalahkan pilihan kelapan dari England, Marcus Ellis-Lauren Smith, 18-21, 21-17, 22-20.
Dalam pada itu, beregu campuran profesional negara, yang juga pilihan kelima, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying kalah mengejut kepada pasangan bukan pilihan dari Indonesia, Tontowi Ahmad-Winny Oktavina Kandow, 21-17, 21-23, 18-21.
Sementara itu, wakil tunggal negara dalam acara perseorangan lelaki, pemain profesional Liew Daren gagal meneruskan saingan apabila tumpas kepada pemain ranking ke-17 dunia, Kanta Tsuneyama dari Jepun dengan keputusan 12-21, 19-21.
— BERNAMA