Tiga faktor dikenal pasti punca tiada sijil digital di MySejahtera

Tiga faktor dikenal pasti punca tiada sijil digital di MySejahtera

KOTA BHARU,. Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk melakukan pembersihan data bagi menyelesaikan masalah berhubung penerima lengkap vaksin COVID-19 yang tidak memperoleh sijil digital vaksinasi di aplikasi MySejahtera.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Adham Baba berkata selain itu pihaknya juga telah mengenal pasti tiga faktor yang menyebabkan masalah itu berlaku.

“Faktor pertama yang menyumbang kepada perkara itu ialah apabila petugas menyuntik ratusan ribu penerima vaksin setiap hari. Ada berlaku nombor siri vaksin tidak dikemas kini di akhir proses oleh mereka di stesen vaksinasi yang akhir.

“Selain itu ada yang masih tidak menerima sijil vaksinasi kerana apabila mereka mengisi pendaftaran di MySejahtera, terdapat kesilapan maklumat seperti ejaan nama yang berbeza atau nombor kad pengenalan yang tidak lengkap berbanding data di Jabatan Pendaftaran Negara,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan di pusat pemberian vaksin (PPV) COVID-19 di Dewan Sri Tunjong, Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan, di sini semalam.

Beliau berkata faktor ketiga adalah disebabkan ada data yang diterima daripada program vaksinasi di luar Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

“Contohnya yang dikendalikan oleh kerajaan negeri, pihak swasta, pejabat kedutaan dan penerima vaksin dari luar negara, data-data itu tidak melalui saluran sistem PICK. Oleh itu data-data berkenaan perlu disahkan dan dikemas kini terlebih dahulu, menyebabkan sijil digital mereka tidak dapat dikeluarkan serta-merta,” katanya.

Khamis lepas media melaporkan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin mengarahkan pasukan MySejahtera untuk menyelesaikan isu sijil digital di aplikasi MySejahtera dalam tempoh seminggu bagi individu yang lengkap menerima vaksin, susulan kebimbangan orang ramai yang masih belum mendapat sijil digital vaksinasi mereka meskipun sudah melengkapkan pengambilan dos vaksin COVID-19.

Sementara itu merujuk kepada perkembangan bekalan vaksin COVID-19 di Kelantan, Dr Adham berkata negeri ini akan menerima bekalan vaksin sebanyak 1,248,900 juta dos sepanjang bulan September ini.

“Selain itu 18,000 dos vaksin CanSino akan dibekalkan kepada kawasan pedalaman terutamanya di Gua Musang dan Kuala Krai bagi memenuhi permintaan masyarakat di luar bandar. Mengikut data yang diperoleh ia melibatkan 7,000 masyarakat Orang Asli dan dos selebihnya akan diberikan kepada penduduk di pedalaman,” katanya.

Beliau berkata menerusi bekalan vaksin itu lebih banyak lagi program vaksinasi secara jumpa terus atau program capaian (outreach) akan dilakukan untuk menjejaki individu yang sebelum ini mungkin tercicir daripada pendaftaran sistem MySejahtera, secara bersemuka, dalam talian dan sebagainya.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)