Tiga individu rugi RM46,530 ditipu sindiket

Tiga individu rugi RM46,530 ditipu sindiket

KEPALA BATAS,. Dua wanita dan seorang lelaki mengalami kerugian kira-kira RM46,530 selepas mereka terpedaya dengan sindiket penipuan dalam kejadian berasingan di sini, Ahad.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata dalam kejadian pertama, seorang kerani wanita berusia 30-an kerugian RM20,230 selepas terpedaya dengan sindiket pinjaman wang tidak wujud di internet.

“Mangsa yang berminat untuk membuat pinjaman sebanyak RM40,000 berurusan dengan ejen syarikat melalui telefon sebelum lelaki itu (ejen) meminta maklumat diri wanita tersebut untuk proses permohonan sebelum memaklumkan pinjaman mangsa diluluskan.

Bagaimanapun, mangsa perlu buat beberapa bayaran proses termasuk denda kerana namanya tersenarai dalam Agensi Pelaporan Kredit (APK), CTOS Data System Sdn Bhd (CTOS),” katanya dalam kenyataan, di sini.

Beliau berkata mangsa yang percaya dengan ejen tersebut kerana dijanjikan wang bayaran itu akan dikembalikan semula berserta wang pinjaman telah membuat bayaran secara berperingkat ke dalam beberapa akaun diberi dengan jumlah keseluruhan RM20,230 dan hanya sedar ditipu apabila dia masih diminta membuat bayaran untuk menerima wang pinjaman tersebut.

Noorzainy berkata dalam kes kedua pula seorang ejen pelancongan kerugian RM21,000 selepas terperdaya dengan panggilan telefon yang menyamar sebagai pegawai Bank Negara Malaysia (BNM) dan memaklumkan terdapat tunggakan kad kredit.

Menurutnya, lelaki berusia 50-an itu menafikan hal itu dan dia disambungkan kepada seorang lagi pegawai BNM untuk membuat laporan serta dimaklumkan semakan kad pengenalan mangsa terlibat kes penipuan.

“Mangsa kemudian diminta untuk pindahkan ke semua wang miliknya berjumlah RM21,000 ke dalam akaun bank diberi untuk tujuan siasatan dan wang akan dipulangkan setelah siasatan selesai. Dia hanya menyedari ditipu selepas menghubungi pihak BNM,” katanya.

Beliau berkata dalam kes ketiga, seorang jurujual wanita kerugian RM5,300 selepas terpedaya dengan panggilan telefon dari seorang lelaki yang menyamar sebagai polis yang memaklumkan dia mempunyai tunggakan kad kredit, namun mangsa menafikannya.

Katanya, mangsa kemudiannya disambungkan kepada seorang pegawai polis yang mendakwa daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka dan memaklumkan hasil semakan kad pengenalan mendapati wanita itu terlibat kes dadah serta pengubahan wang haram.

“Mangsa kemudian diminta untuk pindahkan kesemua wangnya ke dalam akaun bank diberi untuk tujuan siasatan dan wang akan dipulangkan setelah siasatan selesai. Dia menyedari ditipu selepas gagal menghubung lelaki yang mendakwa pegawai polis berkenaan,” katanya.

Menurutnya, polis menerima tiga laporan daripada mereka dan siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengesan pemilik-pemilik akaun berkenaan.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )