Tiga kedai dobi ingkar SOP diarah tutup seminggu

Tiga kedai dobi ingkar SOP diarah tutup seminggu

KEPALA BATAS,. Tiga buah kedai dobi layan diri diarahkan tutup selama tujuh hari kerana tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dalam operasi bersepadu yang dijalankan di Kepala Batas, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara ACP Noorzainy Mohd Noor berkata dalam operasi bersepadu bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bermula pukul 4 petang itu mendapati premis dobi tersebut tidak mencatat kehadiran dan mengambil suhu badan pelanggan.

“Selain itu, pemeriksaan kami juga mendapati kedai-kedai dobi itu juga membiarkan pelanggan yang hadir ke premis mereka tanpa memakai pelitup muka serta tidak menggunakan aplikasi QR My Sejahtera. Pihak KKM mengarahkan tiga kedai tersebut ditutup selama tujuh hari,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya pihak polis turut mengeluarkan kompaun masing-masing RM1,000 ke atas pemilik tiga kedai dobi itu kerana gagal mematuhi SOP ditetapkan bagi membendung penularan wabak COVID-19.

Beliau berkata polis bersama-sama KKM akan meneruskan pemantauan dan pemeriksaan di semua premis sekitar daerah SPU bagi memastikan pemiliknya mematuhi SOP yang telah ditetapkan.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)