Tiga kementerian anjur Ambang 2020 @ Kuala Lumpur

Tiga kementerian anjur Ambang 2020 @ Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR,. Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bersama Kementerian Wilayah Persekutuan serta Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) akan menganjurkan Program Ambang 2020 @ Kuala Lumpur pada 31 Disember ini .

MOTAC dalam kenyataan pada Isnin, memaklumkan program yang akan bermula pada 10 pagi hingga 12.30 tengah malam di Dataran Merdeka, itu dijadual dirasmikan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurut kenyataan itu, “Pertunjukan Cahaya di Langit” akan menjadi pertunjukan istimewa, kemuncak untuk Kempen Melawat Malaysia 2020 dalam tempoh 10 minit dengan 11 formasi istimewa menggambarkan keunikan dan keistimewaan Malaysia di ambang 2020 kelak.

Program Ambang 2020 @ Kuala Lumpur merupakan acara khusus sambutan besar-besaran menjelang 2020 dengan gabungan beberapa komponen acara dimulai dengan perasmian Majlis Rumah Terbuka Malaysia Krismas 2019 dan Majlis Pelancaran Video Kempen Nilai-Nilai Murni oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi, diikuti persembahan “Extravaganza Malaysia Time Capsule” oleh Istana Budaya.

Konsert tersebut akan disertai oleh Datuk Jefrydin (Pop Yeh Yeh), Elvira Mentor (Oldies), Asmidar (Irama Malaysia), Siti Nordiana (Pop Balada) dan Han Byul (Korea).

Kenyataan itu turut memaklumkan persembahan aksi rasa kilas (flashmob) akan diadakan di Avenue K, Jalan Ampang, dan di perkarangan Pavilion, Bukit Bintang pada 27 dan 28 Dis ini bagi memeriahkan lagi promosi program tersebut.

Sementara program awalan khalayak pada 31 Dis ini dengan program interaktif seperti pameran, demonstrasi, permainan kembara budaya (cultural hunt), interaktif masakan warisan dan persembahan sisipan kesenian dan kebudayaan dengan penglibatan pengunjung tempatan serta luar akan diadakan mulai 10 pagi pada hari itu.

Ia merupakan inisiatif kerajaan dalam memupuk perpaduan dan persefahaman masyarakat pelbagai kaum, menyemarakkan pelancongan negara serta mengetengahkan tradisi menyambut perayaan seperti Krismas.

Selain itu, ia bagi menyemarakkan kempen nilai-nilai murni sebagai salah satu wadah pelancongan, seni dan budaya negara dan menguar-uarkan kepada pelancong akan keramahan dan kemesraan rakyat Malaysia terhadap kedatangan 30 juta pelancong asing ke negara ini, dan dapat meningkatkan perbelanjaan mereka sebanyak RM100 bilion sepanjang 2020, menurut kenyataan itu.

MOTAC juga menasihatkan kepada orang ramai dan pelancong yang ingin menghadiri Program Ambang 2020 @ Kuala Lumpur, agar menggunakan pengangkutan awam seperti transit aliran ringan (LRT) , tren KTM komuter, transit aliran massa (MRT), bas Rapid KL dan bas pengantara bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas kerana sepanjang program berlangsung, jalan-jalan utama akan ditutup.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)