Tiga rumah ranap dalam insiden tanah runtuh di Batu Kurau

IPOH,. Tiga buah rumah ranap dalam kejadian tanah runtuh di Kampung Teras, Ijok dekat sini, petang Jumaat.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, tiga rumah berkenaan musnah 80 peratus.

Insiden sama turut meragut nyawa seorang penduduk manakala dua yang lain cedera ringan.

Katanya, mayat mangsa yang terkorban, Hanudin Bahazim, 60, ditemui kira-kira 10.31 malam pada kedalaman kira-kira tiga meter.

“Mangsa yang meninggal dunia telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut manakala mereka yang cedera dirawat oleh pihak perubatan,” katanya dalam kenyataan awal pagi Sabtu.

Pihak JBPM Perak menerima panggilan mengenai kejadian tanah runtuh itu pada 6.33 petang Jumaat.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) disertai 104 anggota dari pelbagai agensi termasuk JBPM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan lain-lain agensi.

Turut digunakan dua buah jengkaut milik Jabatan Kerja Raya (JKR) dan penduduk bagi membantu mencari mangsa yang tertimbus itu.

Kejadian turut menyebabkan kira-kira 200 meter Jalan Rantau Panjang-Lata Tinggi di kampung berkenaan runtuh.

Kawasan yang terlibat ialah di laluan A39, Seksyen 16.40 di kawasan Kampung Teras.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dijangka melawat kawasan terlibat pada Sabtu pagi.

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )