Tiga Syarikat Baharu Dilantik, Tamatkan Monopoli Puspakom dalam Pemeriksaan Kenderaan

Tiga Syarikat Baharu Dilantik, Tamatkan Monopoli Puspakom dalam Pemeriksaan Kenderaan

PUTRAJAYA, 7 Feb 2025 – Kementerian Pengangkutan (MOT) mengumumkan pelantikan tiga syarikat baharu bagi menyediakan Perkhidmatan Pemeriksaan Kenderaan Motor (PPKM), sekaligus menamatkan monopoli Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, menyatakan bahawa keputusan ini selaras dengan ketetapan Jemaah Menteri pada 17 Mac 2023 yang bersetuju membuka perkhidmatan pemeriksaan kenderaan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) kepada syarikat lain yang memenuhi kriteria ditetapkan.

“Dalam fasa pertama, tiga syarikat baharu yang dilantik ialah Wawasan Bintang Sdn Bhd, yang akan beroperasi di Pelabuhan Klang (Selangor), Gua Musang (Kelantan), dan Mersing (Johor).

“Syarikat kedua, Pakatan Petroleum Sdn Bhd, akan menyediakan perkhidmatan di Rawang (Selangor) dan Temerloh (Pahang). Manakala Beriman Gold Sdn Bhd akan beroperasi di Kuching dan Serian, Sarawak,” katanya dalam sidang media hari ini.

Menurut Loke, pemilihan syarikat-syarikat ini dibuat berdasarkan beberapa faktor utama, termasuk kekuatan kewangan dengan modal berbayar minimum RM10 juta, status sendirian berhad, serta pemilikan tempatan.

Langkah membuka sektor pemeriksaan kenderaan kepada lebih banyak penyedia perkhidmatan ini adalah sebahagian daripada dasar kerajaan untuk meningkatkan daya saing serta memastikan pengguna menerima perkhidmatan lebih cekap tanpa bergantung sepenuhnya kepada Puspakom.

gerbangpost.com

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )