Tiga termasuk anggota tentera cedera, MPV polis langgar pokok

Tiga termasuk anggota tentera cedera, MPV polis langgar pokok

SEREMBAN,. Tiga termasuk seorang anggota tentera cedera dalam kemalangan melibatkan sebuah kereta peronda polis (MPV) yang membawa petugas OP COVID-19, di Taman Lavender Heights, Senawang, dekat sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Seremban ACP Mohd Said Ibrahim berkata dalam kejadian kira-kira pukul 1 tengah hari itu, kereta peronda polis jenis Proton Inspira yang dinaiki dua anggota polis dan dua anggota tentera itu sedang membuat rondaan OP COVID-19, di sekitar kawasan Senawang.

“Apabila tiba di tempat kejadian yang berbentuk selekoh ke kiri menuruni bukit, brek kereta pasukan yang dipandu seorang anggota polis berusia 41 tahun itu tidak berfungsi menyebabkan kenderaan itu terbabas ke hadapan lalu melanggar sebatang pokok di kanan bahu jalan.

“Pelanggaran itu menyebabkan pemandu kereta cedera ringan di badan dan kaki, penumpang hadapan iaitu seorang anggota polis lelaki berusia 38 tahun mengalami luka-luka kecil di tangan dan bibir manakala seorang anggota tentera berusia 31 tahun yang duduk di belakang retak tulang belakang,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Said berkata seorang lagi anggota tentera berusia 24 tahun tidak cedera.

“Kesemua mereka dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )