Tindakan Ahli Parlimen Permatang Pauh Fawwaz tidak relevan – Tiong

Tindakan Ahli Parlimen Permatang Pauh Fawwaz tidak relevan – Tiong

KUALA LUMPUR — Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) Tiong King Sing menegur tindakan Ahli Parlimen PAS Permatang Pauh, Fawwaz Mohd Jan yang mendesak pusat membeli-belah di Seberang Jaya menghentikan penjualan arak secara terbuka adalah satu tindakan yang tidak relevan.

Menurut Tiong dalam satu kenyatan media, Fawwaz sebagai seorang Ahli Parlimen seharusnya lebih memahami bahawa Malaysia merupakan negara yang berbilang kaum dan agama.

“Beliau tidak sepatutnya memperbesarkan isu yang berkaitan dengan agama dan tidak seharusnya mentadbir negara hanya dengan memberi keutamaan kepada satu agama atau kaum tertentu sahaja.

“Malaysia dikenali sebagai sebuah negara unik dengan masyarakat berbilang agama yang hidup dalam keadaan aman dan harmoni. Perkara ini tidak boleh dinafikan dan seluruh rakyat perlu mengakui dan berbangga dengan keistimewaan yang Malaysia miliki ini.

“Namun, apa yang menyedihkan, dalam keadaan dunia semakin pantas menuju era tamadun digital untuk kesejahteraan rakyat merangkumi ekonomi, politik, kebudayaan dan sosial, masih wujud segelintir pihak yang mahu negara dilihat seolah mundur ke belakang.

Pelbagai perkara atau isu sensitif yang timbul di dalam negara ini seringkali ditiup oleh segelintir kumpulan ekstremis yang melakukan sesuatu demi kepentingan peribadi.

“Ini adalah fenomena yang tidak sihat. Ia bukan sahaja akan mengakibatkan negara kita dilihat jumud (kolot) dan tidak mampu untuk menuju kemajuan, malah ia turut menjejaskan industri pelancongan negara.” kata Tiong.

Tambah beliau, rakyat Malaysia telah hidup harmoni dan bertoleransi selama berpuluh tahun, janganlah musnahkan ia dengan sekelip mata hanya kerana tindakan yang ‘membuta tuli’ dan beliau perlu tahu keharmonian yang terjalin dikalangan rakyat serta sikap saling menghormati.

“Jika setiap isu yang timbul dikaitkan dengan agama dan kaum, pastinya ia akan membawa tekanan kepada pelbagai sektor industri dan turut menjejaskan tarikan pelancong bukan Islam ke dalam negara ini.

“Tidak mustahil pelancong akan menganggap kita sebagai negara ekstrem jika kita terus berkelakuan seperti ini. Jika ini berterusan, mereka tidak akan dapat mengalami ‘first impression’ yang baik terhadap Malaysia, mereka tidak akan gembira dengan pengalaman berada di sini dan ia akan membuatkan mereka memilih untuk pergi ke negara lain sebagai destinasi pelancongan.” tambah beliau.

Dalam masa yang sama, Pulau Pinang merupakan destinasi pelancongan utama di negara kita dan amat mengalu-alukan kedatangan pelancong dari seluruh dunia setiap tahun ke Pulau Pinang.

“Ramai pelancong asing datang ke Pulau Pinang untuk melancong dan melawat tempat bersejarah, oleh itu, adalah perlu untuk kerajaan negeri Pulau Pinang mempertimbangkan isu ini semula dalam masa yang sama tidak membelakangkan kaum lain bagi mengekalkan keharmonian di negara ini.”

 

 

 

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )