Tindakan Pantas Perlu Untuk Jamin Bekalan Beras Tempatan  – Dato’ Abdul Rahman Dahlan

Tindakan Pantas Perlu Untuk Jamin Bekalan Beras Tempatan – Dato’ Abdul Rahman Dahlan

KOTA KINABALU 7 April – Kerajaan perlu mulakan projek menambah bekalan beras di Sabah dengan membuat keputusan pantas untuk aktifkan semula tanah padi yang terbiar di Sabah. Kawasan jelapang padi di Sabah yang terbesar ialah di Kota Belud dan Kota Marudu. Dua daerah ini adalah berjiran di pantai barat Sabah.

Di Kota Belud ada 6,000 ekar tanah padi. Hanya 2,000 ekar yang di tanam padi kerana 4,000 ekar berdepan dengan masalah pengairan. Di Kota Marudu beribu ekar lagi terbiar kerana masalah yang sama.

Kawasan tanah padi terbiar memang sudah ada sistem talian air. Walaupun usang tapi masih boleh digunakan jika ada punca air. Punca air memang ada tetapi yang diperlukan ialah pam air berkuasa tinggi untuk menyedut air dari sungai berdekatan untuk di salurkan ke sistem pengairan dan saliran.

Pada tahun 2008 kita melihat bekalan beras terganggu sehinggakan harga beras naik lebih dari dua kali ganda. Itu hanya kerana China dan beberapa negara lain bermasalah dengan pengeluaran padi mereka . Mereka bolot bekalan beras untuk negara lain dari Vietnam, kambodia dan Thailand pada waktu itu. Sekarang semua negara mahu beras lebih kerana terkesan dengan wabak, bukan sahaja China.

Sebagai respon pada waktu itu, kerajaan Malaysia membuat keputusan untuk membangunkan beberapa kawasan jelapang padi baru dan meningkatkan hasil jelapang padi yang sedia ada.

Maka kerajaan mencadangkan sebuah empangan baru dibina di Kota Belud yang mampu menyelesaikan masalah pengairan sawah padi dan seterusnya dapat meningkatkan hasil pengeluaran beras, bukan sahaja di Kota Belud tetapi di Kota Marudu.

Malah empangan itu juga sekali gus boleh menyediakan bekalan air dan menjana elektrik yang lebih dari mencukupi serta mengawal masalah banjir yang berlaku di Kota Belud.

Malangnya empangan itu tidak dapat diteruskan bila mendapat tentangan dari beberapa pihak terutamanya dari DAP. Maka kita terlepas peluang besar untuk menyelesaikan masalah negeri Sabah dan masalah Kota Belud. Sekarang kita kembali kepada realiti. Covid 19 telah menyebabkan rantaian bekalan beras sekali lagi menjadi rumit dan sukar.

Dalam masa kritikal ini, saya cadangkan penyelesaian jangka pendek. Saya minta supaya kerajaan membeli pam-pam berkuasa tinggi yang mencukupi untuk menyedut air dari sungai. Kerajaan juga perlu membeli mesin dan jentera mencukupi untuk memastikan kawaaan baru diairi itu dapt ditanam dengan padi.

Buat masa ini tidak perlu bina empangan atau buka kawasan jelapang padi baru yang memakan peruntukan yang besar dan masa yang lama. Kita tidak cukup kewangan dan kita tidak ada masa. Itu boleh dilakukan bila krisis virus ini telah reda.

Saya tidak rasakan belanja kerajaan besar dalam hal ini. Percepatkan pembelian jentera dan pam-pam tersebut. Sekurang-kurangnya Sabah akan mempunyai lebihan bekalan beras tempatan untuk mengurangkan kebergantungan kepada beras import jika keadaan bertambah serius.

Jabatan Pertanian Negeri Sabah boleh memberi taklimat mengenai cadangan ini kepada kerajaan pusat. Jelapang padi lain diseluruh Malaysia juga boleh diambil tindakan serupa.

Semoga Allah melindungi kita dan negara Malaysia.

 

Dato’ Abdul Rahman Dahlan

DARD
06.04.20

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )