Tindakan Pembangunan Bumiputera 2030 garis enam sasaran utama

KUALA LUMPUR: Enam sasaran utama digariskan dalam Tindakan Pembangunan Bumiputera 2030 (TPB2030) untuk dicapai menjelang 2030 menerusi tujuh Aktiviti Pertumbuhan Ekonomi Utama, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (gambar) hari ini.

Beliau berkata tujuh Aktiviti Pertumbuhan Ekonomi Utama (KEGA) itu terdiri daripada Pertanian dan Komoditi, Ekonomi Digital, Halal dan Makanan, Kewangan Islam 2.0, Pengangkutan dan Mobiliti Lestari, Pembuatan serta Pelancongan.

Perdana Menteri berkata usaha ini adalah inisiatif kerajaan dalam membentuk kesaksamaan peluang dari segi ekonomi dan sosioekonomi dan seterusnya memperkasakan agenda bumiputera dinaungi Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU).

“Walaupun bumiputera merupakan kaum majoriti di negara ini, iaitu seramai 20.9 juta atau 69.7 peratus, namun status sosioekonomi bumiputera masih di tahap yang memerlukan peningkatan, khususnya kesenjangan kekayaan, jurang pendapatan serta pemilikan aset yang masih rendah.

“Sehingga hari ini, matlamat untuk mencapai 30 peratus penguasaan ekuiti bumiputera tidak pernah tercapai walaupun Dasar Ekonomi Baru (DEB) diwujudkan sebelum ini untuk menangani masalah ketidakseimbangan ekonomi pelbagai kaum di negara ini,” katanya ketika melancarkan TPB2030 di sini hari ini.

Enam Sasaran TPB2030 adalah Sumbangan Lebihan Kendalian Kasar (GOS) Perusahaan Bumiputera sebanyak 20 peratus kepada KDNK bernilai RM438 bilion, Gaji Upah pada kadar RM5,169.12, Pendapatan Isi Rumah pada kadar RM18,402.68, Kadar Pulangan Aset Kewangan Per Kapita pada nilai RM4,495.65, Pekerja Mahir seramai 3,248,920 orang dan Pemilikan Kediaman sebanyak 4,758,469.

Menjelas lanjut, Ismail Sabri berkata TPB2030 menggariskan strategi jelas melalui program pembangunan dan inisiatif yang diselaraskan dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) serta didukung oleh Rancangan Malaysia Ke-12 dan terangkum dalam konteks Keluarga Malaysia.
Justeru, Ismail Sabri berkata TERAJU dan agensi pelaksana lain perlu memastikan tadbir urus tertinggi dipraktikkan serta kualiti piawaian diutamakan dalam menjayakan agenda bumiputera agar tiada yang dipinggir, seiring inti pati RMK-12.

Beliau berkata selain pendekatan baharu, TPB2030 bermatlamat melonjakkan kedudukan bumiputera melalui merit dan daya saing serta akan berperanan memastikan kesinambungan kepada dasar dan inisiatif pemerkasaan bumiputera terdahulu.

“Tanpa pembangunan kapasiti dan kemampuan bumiputera, objektif besar kita tidak akan tercapai. Kita mesti mengambil iktibar dari segala program bumiputera yang telah diusahakan selama ini tetapi masih gagal mencapai sasaran-sasaran asal.

“Maka dalam merencanakan TPB2030, pendekatan sesuai dengan abad ke-21 mesti diutamakan agar kita tidak sekali lagi hanya gah dalam ucapan dan pelan atas kertas, tetapi tidak dapat merealisasikan keberhasilan yang mampu benar-benar mengubah nasib golongan bumiputera di negara ini,” katanya.

Ismail Sabri berkata kejayaan bumiputera bukan hanya agenda bumiputera semata-mata, tetapi akan membawa pulangan kepada negara secara keseluruhannya.

Selain itu, beliau berkata agenda bumiputera mampu dipacu ke peringat global dengan pemerkasaan bidang berteknologi tinggi, mempertingkat kualiti lulusan bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) dan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

Perdana Menteri berkata hala tuju ini bakal menjadi pemangkin kepada kewujudan ekosistem bumiputera yang berkembang maju selaras dengan kepesatan teknologi dan pembangunan global.

“Semangat di sebalik TPB2030 ini adalah untuk melahirkan generasi baharu bumiputera yang berwibawa, berpaksikan nilai-nilai murni, mempunyai sahsiah jati diri yang berintegriti, tidak bertongkat, tabah, berdikari dan kompetitif dari segi usaha dan pemikiran.

“Kita mahukan generasi yang berkebolehan, kelayakan serta mempunyai pengiktirafan agar berupaya merebut peluang di dalam dan luar negara, seterusnya melonjakkan kedudukan bumiputera sebagai kaum yang terbilang dan bermaruah.

“Generasi kita hari ini akan mempertaruhkan TPB2030 sebagai pusaka warisan, penebus maruah dan pembela martabat bumiputera sepuluh tahun akan datang,” katanya.

– Bernama

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )