
Tindakan Sewajar Akan Diambil Penipuan Agensi Pelancongan – MOTAC
PUTRA JAYA,. Isu tular mengenai Kim Seri, seorang pempengaruh media sosial dan usahawan Malaysia yang menetap di Korea Selatan mengenai dakwaan penipuan berkaitan perkhidmatan agensi pelancongan
miliknya telah menjadi tumpuan ramai.
Mana-mana orang yang menjalankan atau menganjurkan dirinya sebagai menjalankan atau mengendalikan perniagaan pengendalian pelancong atau perniagaan agensi pengembaraan tanpa lesen yang sah di bawah Akta Industri Pelancongan 1992 [Akta 482] melakukan kesalahan dan boleh apabila disabitkan, didenda tidak melebihi RM500,000.00 atau dipenjara 10 tahun atau kedua-duanya sekali.
Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sering menyarankan masyarakat untuk membeli pakej pelancongan daripada agensi perniagaan pengendalian pelancong atau perniagaan agensi pengembaraan yang berlesen dengan MOTAC bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku. Senarai agensi yang berlesen terkini boleh diperoleh
daripada laman rasmi MOTAC https://www.motac.gov.my/semakan/tobtab.
Rakyat Malaysia yang menjadi mangsa atau keluarga mangsa dalam kes ini adalah dinasihatkan untuk membuat laporan polis di balai polis berdekatan dan membuat laporan serta aduan rasmi kepada pihak MOTAC
melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA), MOTAC di pautan https://motac.spab.gov.my untuk membantu siasatan.
Orang awam adalah dinasihatkan untuk sentiasa peka terhadap pemakluman rasmi daripada Kementerian dan membuat pengesahan terlebih dahulu terhadap apa-apa pakej yang ditawarkan oleh mana-mana agensi perniagaan pengendalian pelancong atau perniagaan agensi pengembaraan demi memastikan hak pembeli terpelihara dan
mengelakkan kes penipuan.
MOTAC juga akan terus memantau perkara ini dan akan mengambil tindakan sewajarnya di bawah Akta Industri
Pelancongan 1992 [Akta 482].
–GERBANGPOST