Tindakan tegas menanti pihak terlibat isu doping

Tindakan tegas menanti pihak terlibat isu doping

KUALA LUMPUR,. Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) memberi amaran bahawa tindakan tegas bakal diambil terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam isu doping sukan itu, yang seolah-olah tiada kesudahan.

Presidennya Datuk Ayub Rahmat berkata PABM juga tidak akan teragak-agak untuk menggantung mana-mana negeri terlibat daripada menyertai kejohanan kebangsaan dan antarabangsa, bagi beberapa tempoh berikutan penyalahgunaan bahan larangan.

“PABM komited membanteras isu penyalahgunaan bahan larangan ini dengan mengambil tindakan tegas kepada sesiapa yang terlibat. Ia akan diputuskan setelah menerima keputusan penuh dari Panel Pendengaran yang akan ditubuhkan oleh Agensi Anti Doping Malaysia (ADAMAS) nanti.

“Baru-baru ini PABM membubarkan skuad kebangsaan rentetan dari isu doping membabitkan dua atlet kebangsaan. PABM akan terus bekerjasama dengan Majlis Sukan Negara (MSN), ADAMAS dan Institut Sukan Negara (ISN), bagi membunuh musuh nombor satu dalam sukan ini,” katanya menerusi kenyataan.

Menurut Ayub, PABM sentisa menjemput ADAMAS untuk memberikan taklimat dan melakukan ujian doping kepada atlet yang bertanding dalam kejohanan-kejohanan yang diadakan.

Ayub turut menekankan bahawa semua pengambilan bahan suplemen, produk, ubatan dan herba perlu dirujuk terlebih dahulu dengan MSN, ADAMAS atau ISN, bagi mengelakkan atlet mengambil bahan terlarang yang tidak dibenarkan dalam sukan.

Dua hari lepas, Pengarah ADAMAS Azura Abidin mengesahkan bahawa seorang badang wanita berusia 22 tahun, didapati positif doping penggunaan bahan terlarang jenis sibutramine, pada Kejohanan Angkat Berat Kebangsaan yang berlangsung di Rompin, Pahang pada Oktober tahun ini.

Pada Mei, pemenang pingat emas Sukan Komanwel 2018 Azroy Hazalwafie Izhar Ahmad dan Muhammad Ikram Haikal Muhammad Zuari turut positif doping, yang menyaksikan PABM membubarkan skuad angkat berat kebangsaan, mengakibatkan kesemua empat jurulatih dan 13 atlet diberikan notis penamatan kontrak berkuat kuasa 1 November lepas.

PABM pada 2018 telah mengenakan hukuman penggantungan selama tiga tahun kepada pemenang pingat emas Sukan Komanwel 2014, Mohd Hafifi Mansor serta penggantungan empat tahun kepada Mohamad Fazrul Azrie Mohdad, Muhammad Hakimie Haikal Nordin, Muhammad Zaidi Nordin dan Ronny Jesus, kerana positif doping.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)