Tindakan tegas terhadap khidmat kongsi kenderaan Singapura-Johor tanpa lesen – Laporan

Tindakan tegas terhadap khidmat kongsi kenderaan Singapura-Johor tanpa lesen – Laporan

SINGAPURA,. Pemandu yang ditangkap menyediakan perkhidmatan perkongsian kenderaan secara berbayar antara Singapura dan Johor, tanpa lesen kenderaan perkhidmatan awam yang sah (PSVL) boleh dipenjara dan didenda, menurut laporan CNA pada Sabtu.

Memetik Pihak Berkuasa Pengangkutan Darat (LTA) Singapura, portal berita itu melaporkan bahawa pihak berkuasa ‘memandang serius’ terhadap kenderaan dengan pendaftaran luar yang menyediakan perkhidmatan itu secara tidak sah.

LTA memaklumkan demikian sebagai menjawab pertanyaan CNA mengenai pelancaran Sameride – aplikasi mudah alih yang menawarkan perkhidmatan perkongsian kenderaan antara Johor dan Singapura. Laporan itu menyebut LTA akan mengambil “tindakan penguatkuasaan yang tegas” terhadap aktiviti haram itu.

LTA dilaporkan menjelaskan bahawa kenderaan dengan pendaftaran luar tidak dibenarkan menyediakan perkhidmatan pengangkutan penumpang rentas sempadan berbayar di Singapura tanpa PSVL.

“Mana-mana orang yang ditangkap menyediakan perkhidmatan menyewa, termasuk perkhidmatan perkongsian kenderaan rentas sempadan tanpa PSVL yang sah, boleh didenda sehingga S$3,000, dipenjarakan sehingga enam bulan atau kedua-duanya. Kenderaan yang digunakan juga boleh dirampas,” jurucakap LTA dipetik sebagai berkata.

Menurut portal itu, pihak berkuasa menggesa orang ramai agar tidak menggunakan perkhidmatan itu yang disediakan oleh pemandu kenderaan tidak berlesen, kerana kenderaan berkenaan mungkin tidak diinsuranskan dengan liabiliti pihak ketiga.

“Penumpang kenderaan tersebut mungkin tidak berhak mendapat perlindungan insurans sekiranya mereka terlibat dalam kemalangan jalan raya ketika menggunakan kenderaan tersebut,” kata jurucakap tersebut.

Di laman webnya, Sameride menjangkakan aplikasinya akan beroperasi sepenuhnya untuk mereka yang berulang-alik Johor-Singapura bermula 30 Dis, 2019.

Ia menyatakan bahawa dalam tempoh dua minggu lepas, hampir 300 penumpang Johor – Singapura telah membuat pendaftaran awal di aplikasinya.

Sameride menganggarkan pengguna aplikasi yang berulang-alik antara Johor dan Singapura akan dapat mengurangkan kos perjalanan mereka sehingga 50 peratus berbanding perkhidmatan teksi.

Menurut Sameride, kesan jangka panjang operasi App bagi pengguna laluan Johor-Singapura itu ialah pengurangan trafik di tambak Johor dan Singapura.

Laluan pertama diwujudkan Sameride pada 2016 di Washington, DC Metro Area yang menyediakan perkhidmatan penumpang AS antara Woodbridge, VA dan Tysons Corner, VA.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )